Kerajaan PN perlu elak kontroversi cetus kemarahan rakyat

0
1

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) wajar mengambil ikhtibar daripada apa yang berlaku semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang mengundang kemarahan dan kebencian menebal dalam kalangan rakyat, hanya dalam tempoh 22 bulan pentadbiran mereka.

Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata kemarahan akan melahirkan bibit kebencian yang menebal seperti terjadi kepada kerajaan PH sebelum ini.

“Ini kerana kegagalan kerajaan PH memenuhi aspirasi rakyat terutamanya menjamin kebajikan mereka dan kesejahteraan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Menurut Mustafa, beberapa isu yang timbul setelah setahun kerajaan PN memegang tampuk pemerintahan negara dibimbangi boleh mengundang kebencian rakyat yang menebal.

“Kini, setelah setahun kerajaan PN mentadbir, sekali lagi aspirasi rakyat gagal dipenuhi terutama berkaitan pengurusan krisis pandemik Covid-19 dan ekonomi,” katanya. 

Tambah Mustafa, beberapa tindakan kerajaan PN yang dilihat seolah-olah pilih bulu antara rakyat marhain dengan pemimpin kerajaan dalam melaksanakan undang-undang boleh menambah kebencian rakyat

“Begitu juga dengan layanan dwi-standard yang membezakan anggota pentadbiran kerajaan PN yang seolah-olah kebal dan terkecuali daripada mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut mengundang kemarahan rakyat.

“Insiden terkini melibatkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Santhara Kumar turut melonjakkan api kemarahan rakyat apabila beliau dibenarkan bercuti 55 hari untuk keluar negara menziarahi ahli keluarganya.

“Rakyat pula yang hanya ingin merentas daerah bagi menziarahi ibu bapa dikenakan sekatan malah ada yang didenda,” katanya.

Justeru, Mustafa berharap pemimpin yang dipilih meneraju kerajaan supaya dapat menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat. 

“Saya memohon kepada kepimpinan Kerajaan PN terutama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memastikan pematuhan SOP ini turut terpakai kepada semua pihak melainkan terdapat kes kecemasan atau urusan mendesak.

“Pemimpin kerajaan seharusnya menjadi ‘role model’ yang boleh dicontohi rakyat dan bukannya menjadi penyebab kepada kemarahan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here