Nurul Huda Abhar
KERAJAAN sentiasa mengutamakan kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sebelum ini berkhidmat dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil kesempatan menyatuni Staf Sarjan Nor Hisam Sapie, 50, veteran ATM yang kini menderita akibat kanser.
Penyakit tersebut mula menyerang Nor Hisam pada Mac tahun lalu sebelum bertambah teruk pada Jun dan dimasukkan ke Hospital Temerloh.
Pada mulanya, doktor mengesyaki bapa kepada dua cahaya mata itu mengalami masalah jantung.
“Pada 8 Oktober lalu, veteran telah menjalani pembedahan di leher sebelah kiri (buang ketulan daging). Doktor mengesyaki penyakit tersebut adalah kanser. Selepas menjalani pembedahan kesakitan semakin beransur pulih.
“Pada 11 Februari lalu, veteran telah menjalani sekali lagi pembedahan di tempat yang sama. Pada waktu ini, veteran sudah tidak boleh berjalan dan sekarang dalam keadaan terlantar,” kata satu kenyataan hari ini.
Menerusi foto yang dikongsi, kelihatan Nor Hisam mengukir senyuman menyambut kedatangan Ismail Sabri biarpun terbaring lemah di katil.
Nor Hisam yang menganggotai Kor Perisikan Diraja semasa perkhidmatannya dalam ATM juga kelihatan cengkung menanggung penyakit yang menyerang tubuhnya.
Temujanji seterusnya di hospital bagi mendapatan rawatan susulan pada 8 dan 15 Mac ini bagi bertemu dengan pakar.
Sementara itu, buat masa ini Nor Hisam memerlukan bantuan dari segi lampin pakai buang dewasa kerana kini pergerakan semakin terbatas.

Bagi individu yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan boleh menghubungi di talian 017 9617471 atau boleh menziarahinya di alamat 4B Jalan Triang, Kampung Durian Tawar, Bera, Pahang.- Malaysiapost

