7 kawasan di Semenanjung rekod gelombang haba tahap kuning

0
1

TUJUH kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan gelombang haba tahap kuning atau berjaga-jaga setakat jam 4.30 petang semalam, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Jabatan itu memaklumkan, lokasi itu ialah Chuping, Perlis; Kota Setar, Kedah; Kuala Kangsar, Perak; Sepang, Selangor; Alor Gajah, Melaka serta Tangkak dan Batu Pahat di Johor, lapor Bernama.

Sementara itu, tiada gelombang haba dikesan di Sabah serta Sarawak dan semua kawasan di dua negeri itu merekodkan suhu maksimum harian kurang 35 darjah Celsius bagi tempoh sama.

Tahap kuning merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Status tahap jingga atau ‘heatwave’ pula ialah apabila mencatat suhu maksimum harian 38 hingga 40 darjah Celsius dan tahap merah (kecemasan) untuk suhu melebihi 40 darjah Celsius, masing-masing bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Setakat jam 12 tengah hari tadi bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di kebanyakan kawasan di Semenanjung adalah paras sederhana dengan Rompin, Pahang mencatat bacaan tertinggi iaitu 92, manakala rata-rata lokasi di Sabah dan Sarawak pula IPU pada paras baik.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas (berbahaya).

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga pertengahan bulan ini, dengan taburan hujan agak rendah di Semenanjung terutama di negeri-negeri utara.

Bagaimanapun, jabatan itu tidak menjangka keadaan cuaca panas luar biasa berlaku pada tahun ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here