147 bahagian tolak kerjasama dengan Bersatu tak tepat – Annuar Musa

0
1

BEKAS Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mendakwa laporan 147 bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu sebagai tidak tepat.

Annuar mendakwa, banyak bahagian Umno berpendirian untuk terus bekerjasama dengan parti sesama Melayu dan masih belum memutuskan pendirian masing-masing, sama ada meneruskan kerjasama dengan Bersatu atau sebaliknya.

“Tinjauan jelas menunjukkan banyak bahagian Umno lebih suka mengambil pendekatan lebih strategik untuk terus berkerjasama sesama parti Melayu dan memutuskan pendirian hanya setelah Parlimen dibubarkan.

“Sementara itu perundingan hendaklah terus dilakukan, mencari formula terbaik untuk menang (Pilihan Raya Umum).

“Semakin jelas dakwaan kononnya 147 bahagian telah membuat keputusan untuk menolak Bersatu juga didapati tidak tepat. Ia hanya angka yang dipetik dari WhatsApp group ketua-ketua bahagian,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan juga mendakwa sebelum ini beberapa bahagian Umno telah diarah untuk mengemukakan usul supaya parti itu memutuskan hubungan dengan Bersatu.

“Hanya 118 bahagian mengemukakan usul, itu pun kerana diarah dan bukan semua telah menepati prosedur mengemuka usul. Ramai juga yang tidak jelas dan setelah mendapat penjelasan, berhasrat mengubah pendirian dan mengambil pendirian lebih strategik.

“Difahamkan beberapa pemimpin kanan parti akan mula turun ke bawah membuat penjelasan, dan akan mengambil pendirian menolak cara diambil pemimpin tertentu.

“Kerjasama antara semua parti Melayu, malah NGO dan orang Melayu, wajib diteruskan,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Ketereh itu menyifatkan Umno perlu menjadi tunjang kepada penyatuan Melayu dan bercerai dengan parti sesama Melayu bakal melemahkan Umno.

“Umno wajib memimpin muafakat parti parti orang Melayu, bukan lari darinya. Apa-apa keputusan tidak dibuat sekarang kerana ia hanya melemahkan Umno

“Apa lagi di saat antara Umno, Pas dan Bersatu telah disepakati bahawa Umno akan bertanding paling banyak kerusi, bermakna Umno perlu berkerjasama dengan parti lain di lebih banyak kerusi, demi mencipta kemenangan.

“Menolak mana-mana parti Melayu hanya memecahkan undi Melayu dan merugikan Umno sendiri. Menolak kerjasama dengan parti Melayu hanya menyebabkan undi untuk Umno susut dan Umnolah yang rugi,” katanya.

Dalam hantaran itu, Annuar turut mengucapkan tahniah kepada Umno Sabah yang mengikut langkah Umno Perlis dalam menzahirkan pendirian untuk kekal bekerjasama dengan Bersatu.

“Kini semakin banyak bahagian memilih mengkaji semula pendirian dengan lebih teliti untuk mengambil langkah lebih bijaksana iaitu kekal berkerjasama.

“Terus berunding sesama parti Melayu, fokus menjayakan usaha kerajaan membantu rakyat memerangi Covid-19, menjayakan pelan immunisasi dan memulihkan ekonomi.

“Tahniah Umno Perlis dan Sabah… yang lain saya percaya bakal menyusul, Insya-Allah,” catatnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here