Najamuddin Mohd Nor
“APA pun yang berlaku PAS tetap mahu Umno dan Bersatu duduk semeja, bincang elok-elok demi perpaduan ummah,” kata Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.
Beliau berkata demikian susulan perkembangan terkini hubungan Umno dengan parti serpihannya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Mengulas lanjut, Idris menegaskan, PAS tetap akan memainkan peranannya untuk menjadi orang tengah dan menyelamatkan hubungan kedua-dua parti tersebut yang semakin meruncing ini.
“Kita tidak mahu Umno dan Bersatu bergaduh, cukup-cukuplah demi umat Islam dan orang Melayu. Demi naratif penyatuan ummah PAS sedia memainkan peranannya sebagai orang tengah,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost hari ini.
Bagaimanapun, Idris berkata, pucuk pimpinan PAS belum membincangkan kemelut Umno-Bersatu ini untuk menetapkan pendirian dan hala tuju parti itu.
“PAS belum membincangkan isu ini, namun saya boleh nyatakan secara tak rasminya pendirian PAS ialah kita mahu bersama-sama dengan kedua-dua parti ini.
“Memanglah ada Umno ajak PAS, Bersatu ajak PAS namun pendirian kita sebelum ini kita nak bersama dengan kedua-dua parti ini demi penyatuan ummah. PAS sentiasa dengan naratif tersebut.
“Jadi tak timbul isu PAS main dua kolam, biarlah nak kata PAS main dua kolam kalau ia mampu menyatupadukan PAS,Umno dan Bersatu dalam satu pasukan untuk penyatuan ummah,” katanya.
Petang ini, Bersatu akan membuat ketetapan berhubung keputusan Umno menamatkan kerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pendirian itu akan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi parti hari ini.
Katanya, perkara itu juga akan dibincangkan juga dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PBN) akan datang bersama parti-parti komponen PN yang lain termasuk PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN.
“Mesyuarat Biro Politik Bersatu petang semalam yang dipengerusikan oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membincangkan berkaitan surat Presiden Umno bertarikh 26 Februari 2021,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/04/umno-tamat-kerjasama-bersatu-akan-buat-ketetapan-petang-ini-hamzah/

