
BEKAS wartawan yang juga pemenang anugerah Kajai, Wan Noor Hayati Wan Alias, 40, atau dikenali sebagai Ibu Yati ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan dihadapkan ke Mahkamah Syariah Shah Alam, Selangor, hari ini.
Turut ditahan bersamanya adalah seorang bekas pensyarah sebuah universiti di Johor, Abdul Hamid Yeop.
Penahanan itu disahkan oleh seorang pegawai Perhubungan Awam (PR) JAIS.
Menurut JAIS, Wan Noor Hayati dan Abdul Hamid ditahan pada jam 11.20 malam tadi di Ampang.
“Mereka dibawa ke Mahkamah Syariah Shah Alam untuk sebutan kes di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, Seksyen 9 dan Seksyen 10.
“Dibawah enakmen tersebut, mereka menyebarkan ajaran yang mengelirukan umat Islam,” katanya seperti dilaporkan Suara Merdeka.
Ibu Yati menjadi tular sebelum ini apabila dikatakan terbabit dengan penyebaran ajarab baharu dikenali ‘Agama Melayu’ yang didakwa sebagai sesat.
Perkara itu mendapat perhatian Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan menerusi catatannya di Facebook, menegur Agama Melayu yang menggunakan lafaz syahadah yang pelik (seperti yang saya dengar lafaznya iLa Ha iLa Ra iLa Ma) dan disambung dengan pengakuan aku Melayu sebanyak tujuh kali.
Susulan itu, bekas wartawan terbabit dipanggil memberi keterangan kepada pihak JAIS berhubung perkara itu pada awal Februari lalu. – Malaysiapost
