ORANG ramai dinasihatkan berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pihak yang menyamar wakil syarikat atau luar negara yang menawarkan pemberian vaksin Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ketika ini terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan mendekati masyarakat untuk menawarkan vaksin Covid-19.
Menurutnya, orang ramai perlu merujuk kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tujuan mendapatkan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Ramai mengambil kesempatan bukan setakat menawarkannya dalam talian, malah ada yang mendekati bertanyakan kononnya mereka ejen dari negara luar dan syarikat tertentu.
“Di negara kita ada syarikat yang bawa masuk vaksin seperti Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) yang membawa Sinovac… kalau ada pihak lain kata mereka membawa masuk vaksin, ini adalah tidak benar.
“Harap rakyat tidak mudah tertipu dengan mana-mana pihak yang mendakwa mereka diberi peranan oleh kerajaan untuk berikan vaksin,” katanya.-Malaysiapost

