Pesakit Covid-19 yang dikuarantin akan dipakaikan peranti pengesan

0
2
covid pkp

PESAKIT Covid-19 yang menjalani kuarantin di kediaman atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), akan dipakaikan peranti pengesanan dengan teknologi terkini berkuatkuasa 11 Mac ini.

Perkara itu termaktub dalam peruntukan baru iaitu Seksyen 15A, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang dimasukkan dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dalam satu kenyataan media bersama, berkata peruntukan Seksyen 15A itu terpakai dalam pengawalan pergerakan orang yang dijangkiti atau mereka yang disyaki (PUI) dijangkiti penyakit berjangkit atau kontak kepada kes (PUS).

“Seksyen itu memberi kuasa kepada pegawai untuk mengarahkan pesakit menjalani pengasingan bagi pengawasan dan pemerhatian.

“Pemakaian gelang tangan atau gelang pengawasan yang digunakan semasa wabak Covid-19 ini dikuatkuasakan mengikut peraturan 9(3) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 9) 2020,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata, penalti akan dikenakan ke atas individu yang dipakaikan peranti pengesanan atau alat pengesanan ini sekiranya alat itu dimusnah, dirosakkan, dihilangkan atau diubah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here