MASALAH peringkat akar umbi termasuk di peringkat kawasan merupakan antara punca dua Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dari parti Amanah menyertai PKR negeri itu, menurut Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan Nasional Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud.
Menurutnya, kedua-dua wakil rakyat itu membuat keputusan meninggalkan parti berkenaan atas dasar kepentingan diri sendiri semata-mata.
“Dua ADUN ini sebenarnya tidak boleh bersama dan mempunyai masalah dengan akar umbi Amanah di peringkat kawasan. Sudah nama mereka mungkin tidak akan tercalon untuk pilihan raya akan datang.
“Jadi, dengan menyertai PKR, mereka mungkin beranggapan boleh tersenarai untuk bertanding di kawasan itu selepas ini,” katanya.
Tegas Siti Mariah, Amanah Selangor juga kekal dengan pendirian bagi mempertahankan kerusi ditandingi mereka dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Kita akan tetap meletakkan calon-calon di kerusi yang ditandingi sebelum ini,” katanya.
Walau bagaimanapun, hubungan politik antara Amanah dan PKR di Selangor masih kukuh walaupun terpalit dengan isu kepimpinan lompat parti.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketegangan isu berkenaan dalam gabungan itu merupakan perkara biasa malah pernah berlaku beberapa kali sebelum ini.
Beliau berkata, PH Selangor akan cuba mempertahankan hubungan baik antara parti komponen secara menyeluruh.
“Semangat dalam PH dan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini adalah untuk berbincang dengan baik dalam situasi yang berbeza.
“Pada 2008, dua tiga kali PR hampir berpecah tetapi kemampuan kita membuat keputusan itu yang menjadi kekuatan. Kepercayaan dalam perbincangan itu yang membuahkan hasil dalam perhubungan,” katanya dalam sidang media di Selangor hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Amanah dari Johor dan Selangor yang berhasrat keluar parti untuk menyertai PKR.
Dua wakil rakyat Amanah di Selangor yang dilaporkan lompat parti sebelum ini adalah ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman.-Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/28/tak-manis-pkr-terima-lompatan-wakil-rakyat-amanah-salahuddin/

