DENDA maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun boleh dikenakan terhadap individu yang didapati memotong barisan atau giliran penerimaan vaksin Covid-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata tindakan itu boleh diambil melalui peruntukan baharu dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, yang berkuat kuasa mulai 11 Mac ini.
“Peruntukan baharu ini adalah sebagai punca kuasa untuk mengenakan penalti di bawah Akta 342 bagi mana-mana kesalahan yang tidak dinyatakan di dalamnya.
“Peraturan di bawah subseksyen ini kita boleh menetapkan apa-apa perbuatan yang melanggar peraturan untuk menjadi suatu kesalahan dan boleh dikenakan penalti denda,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Sidang media itu diadakan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Bagaimanapun, Dr Adham berkata setakat ini Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menerima sebarang laporan berhubung tindakan memotong barisan.
“Perkara itu (potong barisan) hanya berdasarkan khabar angin atau dakwaan sahaja,” katanya.
Sementara itu, Takiyuddin berkata berhubung isu berkenaan masyarakat perlu jelas mengenainya kerana kadangkala ia hanyalah tomahan dan individu yang didakwa memotong barisan itu sebenarnya memang berhak menerima suntikan vaksin berkenaan.
“Sebagai contoh wakil rakyat, mereka ini berada dalam masyarakat bersama dengan orang ramai, jadi mereka ini juga adalah barisan hadapan. Jadi kena betulkan persepsi itu,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/02/vaksin-pembantu-rumah-pemandu-vip-didakwa-potong-barisan/

