SEORANG anggota polis wanita yang memantau prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sekolah di Labuan, turut sama menjadi ‘pemujuk’ kepada murid Tahun Satu.
Menerusi perkongsian foto di Facebook Polis Daerah Labuan, Sarjan Haslinda Jamil memujuk murid lelaki yang sedang menangis di dalam kelas.
Perkongsian itu menarik perhatian netizen yang sebelum ini melihat pelbagai ragam murid Tahun Satu yang memulakan sesi persekolahan secara bersemuka kelmarin.
“Sarjan Haslinda Jamil, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai berkesempatan memujuk adik ini yang sedang bersedih kerana baru memasuki alam persekolahan.
“Pagi ini merupakan sesi lawatan dan pemantauan PPS di semua sekolah yang telah dibuka untuk sesi persekolahan melibatkan pra sekolah, Darjah Satu dan Darjah Dua,” tulisnya.
Sementara itu, gambar tersebut turut dikongsi Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia yang memaklumkan tindakan Sarjan Haslinda itu membantu meredakan sedikit kesedihan kanak-kanak tersebut apabila ditinggalkan ibu bapa untuk sesi persekolahan.
“Alo siannya adik comel nie, nangis ye kat sekolah, nasib baik ada Sarjan Haslinda Jamil yang comel memujuk dia kan. Terubat la sedikit hati adik nie yang meronta di hari pertama persekolahan,” katanya.
Hantaran Facebook itu memaklumkan pihak polis yang ditugaskan sebagai PPS hadir ke sekolah tersebut bagi membuat lawatan serta pemantauan dalam memastikan SOP kekal dipatuhi. – Malaysiapost.

