Vaksin: pembantu rumah, pemandu VIP didakwa ‘potong barisan’

0
1

PEMBANTU rumah dan pemandu orang kenamaan antara individu yang ‘memotong barisan’ bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. 

Perkara itu didedahkan Pengerusi MedTweetMY, Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin yang turut mendakwa mempunyai bukti berkaitan isu potong barisan itu.

Beliau berkata, sepatutnya bekalan vaksin Covid-19 diperuntukkan kepada petugas barisan hadapan terlebih dahulu namun sebaliknya berlaku.

Dr Khairul Hafidz berkata, pihaknya menerima pelbagai laporan daripada pengadu yang dirahsiakan identitinya, selain mendakwa mempunyai bukti berupa dokumen yang mempunyai senarai nama serta gambar individu tersebut.

“Saya telah mendapat banyak laporan potong giliran malah bukti dokumen list nama serta gambar. 

“Ada yang anak sendiri yang ambil gambar keluarga, majlis perbandaran yang dapat dahulu (vaksin), mereka  frontliner ke?

“Diuar-uarkan ada sehingga maid dan driver VIP juga akan terima suntikan,” katanya menerusi Twitter @khairul_hafidz semalam.

Sehubungan itu, Dr Khairul berkata, semua maklumat dan laporan berkaitan perkara itu sudah dikemukakan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin untuk tindakan lanjut.

“Walau apa pun, saya menghormati prosedur ditetapkan MOSTI, justeru kami akan rangkum dan e-mel kepada saluran diberikan.

“Harap isu ini dapat diambil serius. Diharap selepas pengadu e-mel, kami akan mendapat maklum balas dan tindakan dilaksanakan MOSTI,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas desakan pengguna Twitter supaya mendedahkan butiran laporan dan dalang langkau giliran bagi mendapatkan vaksin.

Jelasnya, pihaknya akan selesai terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan kerana masih menghormati saluran yang betul.

“Ini supaya kami tahu tindakan sudah diambil. Jika tiada e-mel maklum balas, boleh dianggap tiada tindakan. Saya masih menghormati saluran yang betul, biar kami gunakan pendekatan ini dulu,” katanya.

Difahamkan, dokumen tersebut didakwa mengandungi butiran berhubung petugas barisan hadapan di sebuah bandar raya yang masih tidak mendapat suntikan vaksin, tetapi beberapa orang kenamaan sudah menerimanya. 

Semalam, Khairy yang juga Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan memaklumkan kerajaan akan mewujudkan Garis Panduan Penetapan Senarai Barisan Petugas Hadapan bagi mengelakkan isu ‘potong barisan’ untuk program vaksinasi Covid-19.

Katanya, keputusan itu dibuat pada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang mana dokumen garis panduan tersebut memperincikan mengenai petugas barisan hadapan. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/01/vaksin-kerajaan-pertimbang-kenakan-kompaun-individu-potong-barisan-kj/q

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here