Rentas negeri: Zahid bimbang sektor pelancongan makin terjejas

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kebimbangan terhadap masa depan sektor pelancongan jika kelonggaran merentas sempadan daerah dan negeri bergantung selepas 80 peratus rakyat diberi vaksin Covid-19.

Ia kerana katanya, perkara tersebut telah dimaklumkan sebelum ini bahawa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk menerima vaksin, dijangka selesai menjelang Februari 2022.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan adakah ia bermaksud pihak yang terlibat dalam sektor pelancongan yang kini terjejas teruk diminta untuk bertahan bagi tempoh setahun lagi.

“Saya bimbang kebanyakan pengusaha dan pekerja sektor pelancongan tidak mampu bertahan bagi tempoh minimum 12 bulan akan datang.

“Jangan lupa industri pelancongan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara kasar yang bermaksud ramai rakyat bernaung di bawahnya.

“Tahun lalu kita diberitahu kira-kira sejuta pekerja sektor pelancongan di Malaysia dikhuatiri hilang pekerjaan susulan penularan jangkitan Covid-19,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Justeru, Ahmad Zahid berkata bantuan yang diberikan kepada pengusaha dalam sektor pelancongan perlu ditambah baik untuk membantu mereka terus bertahan pada waktu sukar begini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, larangan rentas daerah dan negeri memberi impak sangat besar kepada sektor pelancongan.

Katanya, walau dibenarkan beroperasi, mustahil untuk mencapai nisbah faedah-kos yang sewajarnya.

“Ini kerana pelancongan berkaitan dengan aktiviti pengembaraan dan lawatan oleh orang ramai.

“Bagaimana orang ramai mahu mengembara dan melawat apabila dilarang merentas kawasan.

“Jangan salah faham. Saya tidak berhasrat berbicara tentang kewajaran larangan rentas daerah atau negeri,” katanya.

Namun, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, apa yang ingin beliau tekankan tentang nasib mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam sektor tersebut.

“Bukan sekadar tentang kerugian dihadapi pengusaha hotel, tetapi juga nasib pekerja-pekerja mereka.

“Bukan juga semata-mata mengenai kemudaratan dialami pusat peranginan, tetapi kesannya kepada industri hiliran.

“Peniaga makanan, kraftangan, pakaian dan banyak lagi yang majoritinya diusahakan oleh pengusaha-pengusaha kecil,” katanya.

Katanya lagi, sudah agak lama mereka menanggung azab dan masih menanggungnya sehingga hari ini.

Oleh itu, beliau berharap institusi kewangan wajar melanjutkan lagi tempoh bantuan pembayaran balik pinjaman untuk jangka masa yang lebih signifikan atau sehingga orang ramai kembali dibenarkan melancong.

“Jangan terlalu berkira tentang bantuan ini kerana mereka juga penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara sebelum dan selepas pandemik Covid-19 berakhir,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here