BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sekali lagi menegaskan ramalannya tentang hibah Tabung Haji (TH) tidak akan tinggi pada tahun mendatang dan hanya akan konsisten pada kadar tiga peratus.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ia susulan langkah kerajaan terdahulu yang mengubah hala tuju TH terutama dari segi pelaburan.
“Hibah TH tahun 2020 diumum sebanyak 3.10% – iaitu sedikit kenaikan berbanding 3.05% tahun 2019. Namun tahun lepas, TH banyak menjimat sebab tidak perlu memberi subsidi menunaikan haji dalam pandemik Covid-19.
“Seperti saya pernah ramalkan pada permulaan tahun 2019 masa PH (Pakatan Harapan) bahawa hibah TH tidak akan tinggi lagi seperti masa BN (Barisan Nasional) pada tahun-tahun mendatang.
“Ia apabila PH serta CEO lantikan mengeluarkan kenyataan bahawa tugas TH hanya untuk kerja mengendalikan jemaah umrah menunaikan ibadah haji kali pertama dan TH tidak perlu untuk berniaga atau melabur lagi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, ia bermakna TH sudah menjual kebanyakan pegangan saham dan telah memindahkan dana serta hasil jualan ke dalam aset simpanan tetap dengan pulangan yang tetap.
“Maka hibah TH untuk tahun-tahun mendatang akan konsisten pada tahap 3% setiap tahun sebab pulangan dari aset simpanan tetap cuma antara 4 hingga 5%.
“Selepas tolak kos pengurusan dan kos subsidi haji, maka hibah akan konsisten pada tahap 3%. Tidak tinggi lagi dan tidak rendah lagi,” katanya.
Najib berkata, ia terbukti apabila hibah TH diumum sebanyak 3.05 peratus bagi tahun 2019 dan 3.10 peratus bagi tahun lalu.
“Sebab itu pada 2019, saya pernah beberapa kali suruh kerajaan PH dan TH untuk berterus-terang dengan pendeposit.
“Jangan malu nak telus dengan ummah. Jika bukan lagi peranan TH untuk memperkasa ekonomi ummah seperti antara visi utama TH, institusi kerajaan PH yang mana lagi akan memikul tanggungjawab ini? Tabung Harapan?” sindirnya.
Beliau berkata, keadaan hibah itu akan kekal melainkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memulihkan kembali hala tuju dan matlamat asal TH, seperti zaman hibah dan bonus TH antara tujuh peratus ke sembilan peratus pada masa BN dan beliau menjadi Perdana Menteri dahulu. – Malaysiapost

