SEPANJANG bulan lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membanteras aktiviti perjudian dengan membuat 203 serbuan serta merampas wang tunai lebih RM1.2 juta dalam Op Limau yang dijalankan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya menumpukan terhadap aktiviti perjudian dalam bangunan dan judi tempar bebas yang tertakluk di dalam Jadual Pertama serta Kedua, Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Sebanyak 203 serbuan berjaya dilaksanakan sepanjang 1 hingga 28 Februari lalu berbanding 141 serbuan dalam tempoh sama tahun lalu.
“Seramai 1,513 individu berjaya ditangkap dan PDRM juga merampas wang tunai sebanyak RM1,216 617,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, secara keseluruhan Op Limau menunjukkan kejayaan dalam usaha membanteras aktiviti perjudian terutama sempena Tahun Baru Cina dengan mencatatkan peningkatan bilangan serbuan dan rampasan wang tunai.
“Antara kes menarik adalah serbuan membabitkan judi ‘Pai Kaw’ yang dijalankan di Bukit Tengah, Pulau Pinang pada 13 Februari lalu dengan berjaya menahan 19 suspek serta merampas wang tunai RM276,950.
“Pada 21 Februari pula, dua serbuan membabitkan judi Pai Kaw dan judi ‘sisik’ dijalankan di Endau, Mersing, Johor dengan menahan 20 suspek serta merampas wang tunai sebanyak RM98,599,” katanya. -Malaysiapost

