Nilam Oshman
MUFTI Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman menasihati Nur Sajat atau Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, supaya segera bertaubat.
Ia susulan pengakuan usahawan kosmetik itu yang dia bukan lagi beragama Islam menerusi satu video yang tular hari ini.
Abdul Rahman berkata, umat Islam diingatkan jangan mudah melafaz ‘keluar dari Islam’ atau murtad kerana ia akan memudaratkan diri di akhirat kelak.
Namun, katanya, Sajat yang telah membuat pengakuan tersebut perlu insaf dan bertaubat kepada Allah SWT.
“Perkataan ‘nak keluar dari Islam’ itu bahaya, dalam Enakmen, boleh didakwa di mahkamah… perkara ini akan jadi lagi susah.
“Sepatutnya dia kembali bertanya kepada orang yang boleh menasihatkan dirinya. Kembali kepada hakikat sebenarnya dia.
“Jangan buat keputusan dalam keadaan marah, kerana akan melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya,” katanya kepada Malaysiapost
Jelas Abdul Rahman, pengakuan itu akan menyebabkan dia lebih jauh dari Islam dan merosakkan diri.
“Dia ingat dengan mengeluarkan perkataan itu orang akan bersimpati namun sebenarnya tiada orang yang akan simpati.
“Sebaliknya, perkataan itu boleh merosakkan dirinya dan menyebabkan orang lain lagi marah dan tidak percaya kepada dia.
“Jika dia salah dari segi syarak, kembalilah bertaubat dan berjumpalah dengan orang beragama yang dapat membantu dan menginsafkan dia supaya dapat cari jalan keluar menyelamatkan dirinya,” katanya.
Katanya lagi, sekiranya Sajat berada dalam keadaan keliru, sedih dan hilang arah, dia boleh berbincang dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan perjelaskan segalanya.
“Malah dia juga boleh rujuk kepada mahkamah, kita ada peraturan yang boleh dia membela dirinya, namun jika bersalah bertaubatlah,” katanya.
Terdahulu, satu video berdurasi seminit 48 saat yang tular di media sosial, memaparkan reaksi Sajat yang kesal terhadap JAIS dan memaklumkan keputusannya yang mahu keluar dari agama Islam.
“Saya baca, tak salah kita buat research (kajian) agama lain kan? Sebab kita tak ada buat apa-apa, lepas itu orang nak salahkan kita teruk. Lepas JAIS keluarkan statement (kenyataan) itu, saya dah malas nak fikir.
“Saya cakap ini bukan saya nak mengugut ke tak. Secara sumpah demi nama saya, nama ayah saya, nama mak ayah saya, saya dah tak nak menjadi orang Islam.
“Saya keluar daripada agama Islam. Itu lebih afdal. Saya tak main-main, saya cakap betul, mereka yang buat jadi saya nak keluar daripada Islam. Saya tak main-main, saya cakap betul,” luah Sajat dalam video tersebut.
Semalam, menerusi laporan media, JAIS meminta bantuan polis untuk menjejaki dan menangkap Sajat selepas menghilangkan diri.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata pihaknya sedia membantu JAIS mengesan Sajat yang menghilangkan diri, baru-baru ini.
Pada 23 Februari lalu, usahawan kosmetik itu dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana tidak hadir sebutan semula kes berhubung menghina Islam. – Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/02/sajat-dah-tak-nak-jadi-orang-islam/

