PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyampaikan taklimat khas darurat kepada Ahli Parlimen di Putrajaya.
Majlis tersebut berlangsung di Dewan Taklimat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri, bermula jam 9.30 pagi tadi.
Beberapa Ahli Parlimen berkongsi di laman sosial masing-masing berhubung taklimat khas berkenaan, antaranya Ahli Parlimen, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman.
Difahamkan, ia turut dihadiri pegawai tinggi kerajaan dan agensi keselamatan termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Ahmad Maslan menerusi ciapan di Twitternya berkongsi gambar beliau sedang bersarapan dalam kereta menuju ke Putrajaya bagi menghadiri taklimat tersebut.
Semalam Muhyiddin menegaskan kesemua ordinan yang telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong, tidak ada satu pun yang bertujuan untuk membolehkan Perdana Menteri kekal berkuasa selama-lamanya.
Sebaliknya, Muhyiddin berkata beliau sedar dan faham maksud demokrasi, malah darurat yang sedang dilaksanakan tamat pada 1 Ogos 2021, iaitu kali pertama dalam sejarah negara, darurat mempunyai tempoh tamat.
Perdana Menteri juga sekali lagi berkata proklamasi darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah semata-mata untuk mengatasi masalah Covid-19.
Sejak darurat berkuatkuasa, Yang di-Pertuan Agong telah memasyhurkan tiga ordinan iaitu, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021. – Malaysiapost

