Kenaikan nilai kompaun satu keperluan, bukan penganiayaan – Ismail Sabri

0
1

KENAIKAN nilai maksimum kompaun terhadap individu dan syarikat yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan dan kawalan penjangkit berjangkit berkuatkuasa 11 Mac ini adalah satu keperluan mengikut peredaran zaman.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ramai yang marah, tidak puas hati dan mengatakan tindakan menaikkan nilai kompaun itu akan menyebabkan ramai menjadi mangsa dengan undang-undang yang begitu keras.

“Sebelum ini kita mendengar ramai yang tidak puas hati apabila sebuah kilang yang menyebabkan berlaku penularan Covid-19 di kilang berkenaan dengan 4,000 pekerja didapati positif dan tindakan diambil oleh kerajaan hanyalah denda RM1,000.

“Ia berlaku kerana Akta 342 (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) sedia ada menghadkan had maksimum kompaun berkenaan berdasarkan situasi pada 1967 yang mungkin jumlah yang besar pada waktu itu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, susulan proklamasi darurat maka kerajaan telah meminda hukuman itu dengan menaikkan kepada RM50,000 untuk syarikat atau peniaga yang gagal mematuhi SOP dan daripada RM1,000 kepada RM10,000 terhadap individu.

“Didalam perundangan tiada had minima tetapi ia memberikan had maksima kepada setiap kesalahan yang dilakukan dan setiap kes kompaun boleh dirayu,” katanya.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador juga telah memberikan penjelasan bahawa yang akan dikenakan tindakan lebih daripada RM1,000 hingga RM10,000 itu adalah mereka yang berulang kali melakukan kesalahan.

“Selain itu, mereka yang melakukan kesalahan serius juga perlu diberikan tindakan keras sebagai contoh pengunjung pusat hiburan yang dari awal memang tidak dibenarkan beroperasi ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun masih ada pengunjung yang degil.

“Mungkin juga mereka yang diarah kuarantin namun ingkar dan keluar ke tempat awam dan sebagainya yang kesannya boleh menjangkiti orang lain,” katanya.

Ismail Sabri berharap, masyarakat memberi keyakinan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menurutnya agensi itu tahu menggunakan kuasa yang ada dan menggunakan budi bicara terbaik untuk menjaga keselamatan awam

“Jangan kita anggap kompaun RM10,000 maka polis akan ambil kesempatan untuk menyaman sesiapa sahaja.

“Saya percaya tidak akan ada penganiayaan terhadap rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya difahamkan PDRM juga telah membuat kenyataan bahawa mana-mana pihak yang menghasut supaya rakyat menolak vaksin Covid-19 juga boleh dikenakan tindakan mengikut Ordinan Darurat kerana ia dianggap boleh mendatangkan khianat awam dengan niat menakutkan orang ramai. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/01/kompaun-rm10000-bawah-ordinan-darurat-ismail-sabri/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here