Bukan 3, tapi 5 peluru dalam badan Awang Rasau

0
1

Nurul Huda Abhar

HARIMAU jantan digelar ‘Awang Rasau’ yang ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) baru-baru ini masih menderita akibat kecederaan kesan tembakan di kaki belakang haiwan tersebut.

Perkongsian di Facebook (FB) Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia memberitahu menerusi keputusan imbasan X-ray yang telah dijalankan terdapat lima kesan butir peluru dijumpai dan bukannya tiga butir peluru seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Sebutir peluru telah berjaya dikeluarkan manakala pembedahan untuk mengeluarkan baki peluru akan dilakukan pada pembedahan seterusnya. Keadaan baki peluru yang tinggal berada agak dalam pada badan Awang Rasau.

“Jabatan Perhilitan akan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan Awang Rasau. Oleh itu, sama-sama kita berdoa agar Awang Rasau kembali pulih seperti sediakala dan boleh dilepaskan semula ke habitat asalnya,” tulis hantaran itu, hari ini.

Perhilitan pada 22 Febuari lalu berjaya menangkap seekor harimau belang di sebuah ladang sawit di Felda Kerteh 3, di Dungun, Terengganu.

‘Awang Rasau’ berusia lingkungan 15 tahun itu dipercayai adalah harimau harimau yang dilaporkan menyerang beberapa lembu ternakan penduduk di kawasan terbabit.

Siasatan Perhilitian mendapati harimau itu cedera di bahagian perut dan belakang badan, dipercayai terkena tembakan menggunakan senjata oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ekoran kecederaan dialami menyebabkan haiwan itu terpaksa bergerak menggunakan kaki hadapan. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/02/25/awang-rasau-semakin-berselera/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here