PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai keyakinan untuk mengadakan sidang parlimen sehingga terdesak ‘membeli’ wakil rakyat bagi mengukuhkan sokongan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ia susulan pekenan Yang di-Pertuan Agong minggu lalu membenarkan untuk parlimen bersidang walaupun negara masih dalam tempoh darurat.
“Sekarang ini dia (Kerajaan PN) hilang majoriti kerana itu mereka bergelut untuk membeli (Ahli Parlimen) dan mengugut sedaya upaya untuk mendapatkan dukungan sebelum memikirkan untuk parlimen bersidang.
“Saya nak tanya Perdana Menteri, Tuanku Agong telah perkenan maknanya (saya) merasakan perlu diadakan sidang parlimen kalau tidak mengapa hal ini (sidang Parlimen) diangkat?” katanya menerusi video di Facebooknya, hari ini.
Anwar berkata demikian susulan tindakan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong mengumumkan keluar PKR dan menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PN.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau percaya isu lompat parti ini mempunyai kaitan dengan sogokan, tekanan dan pujukan yang diberikan kepada wakil rakyat berkenaan.
“…ternyata kerajaan PN tidak mempunyai keyakinan sehingga membeli beberapa orang wakil rakyat. Kerana apa? kerana sogokkan termasuk projek-projek.
“Pada 2008 pilihan raya bila kita menang ada yang melompat. 2013 dokongan kita melonjak, orang yang lompat itu kecundang ditendang oleh rakyat kerana pertimbangan mereka, peribadi mereka,” katanya.
Beliau berkata, sebagai wakil rakyat sepatutnya mereka menuntut sebuah kerajaan yang adil termasuk di kawasan pembangkang dan bukan mengaku kalah dengan tekanan.
“Pelbagai isu yang kita hadapi sekarang termasuk masalah rakyat ekonomi, pengangguran, masalah pelaburan(negara) yang kian hilang.
“Perkara ini kita perlu cerita kepada rakyat dan kita mahu rakyat bangkit bersama tuntut parlimen bersidang dan Kerajaan PN berundur kerana mereka hilang majoriti,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau yakin perkara itu dapat direalisasikan sekiranya sejumlah besar ahli parlimen setia untuk menuntut perubahan demi membela nasib rakyat.
“Insya Allah saya yakin sekiranya ada sejumlah besar Ahli Parlimen setia mahu perubahan maka saya peracya kita mempunyai kekuatan membawa perubahan yang sebaiknya,” katanya.
Terdahulu Malaysiapost melaporkan, Takwim Persidangan Parlimen yang tular di media sosial sejak semalam, adalah takwim asal Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Rakyat sebelum pengisytiharan darurat Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia, berdasarkan Perenggan 14(2) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, mana-mana Mesyuarat Parlimen yang telah dipanggil sebelum tarikh permulaan kuat kuasa Ordinan ini tetapi belum diadakan adalah dibatalkan.
“Oleh yang demikian, takwim asal tersebut tidak lagi terpakai,” menurutnya menerusi kenyataan media lewat malam tadi.
Semalam, terdapat laporan yang memetik laman sesawang Parlimen memaparkan takwim mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-14 akan bermula 8 Mac dan tamat pada 8 April. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/01/parlimen-tak-bersidang-8-mac-ini/

