LHDNM kutip RM123.092 bilion tahun lalu

0
1

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) merekodkan kutipan cukai sebanyak RM123.092 tahun lalu, 1.14 peratus lebih tinggi daripada sasaran ditetapkan iaitu RM121.7 bilion.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata meskipun berdepan suasana ekonomi suram serta mencabar, LHDNM membuktikan kemampuannya sebagai sebuah organisasi berprestasi tinggi dengan mengadaptasi norma-norma baharu dalam menjalankan operasi percukaiannya.  

“Saya mewakili Kementerian Kewangan mengucapkan syabas dan tahniah kepada LHDNM dan seluruh Hasilian kerana telah berjaya mengharungi rintangan dan cabaran semasa dengan cekal dan penuh dedikasi. 

“Saya percaya pihak Anggota Lembaga LHDNM dan pengurusan tertinggi LHDNM telah melakukan perancangan yang rapi dan berkesan dalam hal ini. 

“Kejayaan memperoleh jumlah kutipan cukai disasarkan ini membuktikan walaupun dalam suasana pandemik, masih terdapat industri tidak terjejas, malah ada yang mendapat keuntungan besar kesan daripada pandemik,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hari Hasil ke-25 secara maya hari ini.

Tengku Zafrul berkata beliau yakin masih terdapat banyak ruang yang boleh diterokai oleh LHDNM bagi meningkatkan lagi prestasi kutipan dengan memperluaskan jaringan pembayar cukai yang berpotensi, mengenal pasti industri dan sektor tertentu yang selama ini menjauhkan diri dari radar LHDNM,” katanya.

“Mudah-mudahan, dengan meneroka peluang baharu, sasaran kutipan oleh kerajaan kepada LHDNM pada tahun 2021 ini yang berjumlah RM143.9 bilion dapat dicapai,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here