Ismail Sabri jamin bela kebajikan warga tentera

0
1

MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kerajaan akan memastikan kebajikan warga tentera terbela. 

“Perumahan mereka, kebajikan mereka, serta masa depan anak-anak warga tentera akan kita perjuangkan tidak kira apa jua halangan. 

‘Para veteran yang telah banyak berkorban jiwa dan raga akan terus dijaga kebajikan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya sempena ucapan Selamat Hari Tentera Darat ke-88 buat anggota Tentera Darat Malaysia. 

Ismail Sabri berkata, banyak jasa dan sumbangan Tentera Darat Malaysia kepada rakyat dan kedaulatan negara. 

Katanya, anggota Tentera Darat terus berjaga bagi memastikan setiap rakyat di negara ini dapat tidur dengan nyenyak, aman, dan selesa. 

“Mereka bersama rakyat di kala banjir melanda. Mereka bersama rakyat di kala wabak Covid-19 menyerang kita. 

“Mereka siapsiaga untuk pastikan tiada yang menceroboh kedaulatan negara. 

“Hari ini, 1 Mac 2021 genap Tentera Darat Malaysia menjadi nadi keamanan negara sejak 1 Mac 1933,” katanya. 

Katanya lagi, beliau menjadi saksi betapa semangat dan kerja keras setiap anggota keselamatan di negara ini yang meliputi setiap warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk cabang perkhidmatan darat, udara dan laut serta serta anggota keselamatan lain yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi negara. 

“Jujur, ia satu perjuangan yang amat besar yang tidak mungkin dapat dibalas dengan apa pun,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here