Suntikan Vaksin Covid-19 : VVIP bukan wakil rakyat, bukan penerima fasa pertama

0
1

INDIVIDU kenamaan yang bukan bergelar wakil rakyat tidak boleh menjadi penerima vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin menjelaskan perkara berkenaan apabila ada golongan ‘VVIP’ didapati mahu disenaraikan dalam fasa pertama terbabit.

Malahan, beliau berkata, wakil rakyatpun disaran mengambil vaksin berkenaan secara berperingkat.

“Sebagai penjelasan, wakil rakyat memang ada dalam fasa pertama. Cuma sekarang ini, VVIP bukan wakil rakyat pun nak masuk senarai. Tak boleh.

“Untuk wakil rakyat, saya juga minta ambil secara berperingkat. Ada negeri bagi semua EXCO ‘one shot’ (sekali gus). Tidak bagus,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Beliau yang juga merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut mengulas dakwaan berlaku tindakan potong giliran untuk menerima suntikan Covid-19 membabitkan pegawai tertinggi kerajaan negeri.

Tegas Khairy, beliau memandang serius isu berkenaan dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sehubungan itu, beliau meminta individu yang mempunyai maklumat supaya tampil menyalurkannya terus kepada beliau untuk membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

“Saya pandang sangat serius isu ‘queue jumper’ (lompat giliran). Saya telah memaklumkan perkara ini kepada @DGHisham (Dr Noor Hisham) agar tiada pemotongan ‘queue’ (giliran).

“Whistleblower (pengadu) boleh hantar e-mel secara anonymous (tanpa nama) terus kepada saya: [email protected] dan saya akan siasat,” katanya.

Beliau bersama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, Datuk Dr Chong Chee Kheong yang berada dalam jawatankuasa khas akan menyiasat laporan atau aduan yang dikemukakan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here