ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berharap pihak berkuasa dapat menggunakan budi bicara sebelum mengenakan kompaun kepada orang awam bersesuaian dengan keadaan dan lokasi.
Pengerusi Biro Undang-Undangnya, Mohamad Siddiq Azani, berkata ia selaras dengan niat serta matlamat untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi tujuan mengawal penularan wabak Covid-19.
Katanya, menerusi pindaan ini, tiada kadar tetap denda yang dikenakan namun ia tidak boleh melebihi RM10,000.
“Oleh itu, orang ramai yang dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa diingatkan untuk membuat rayuan di mahkamah sekiranya tidak mampu untuk membuat pembayaran kompaun terbabit.
“Sebagai contoh, sekiranya seseorang dikompaun sebanyak RM1,000, beliau masih boleh membuat rayuan di mahkamah dan mahkamah, atas budi bicara boleh memberi pengurangan denda terbabit bergantung kepada keadaan khas dan berdasarkan kepada fakta kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, Armada berharap pihak berkuasa dapat menggunakan budi bicara sebelum mengenakan kompaun kepada orang awam bersesuaian dengan keadaan dan lokasi.
“Orang ramai yang memerlukan nasihat lanjut boleh menghubungi Biro Undang-Undang Armada Bersatu menerusi Facebook Armada Bersatu Malaysia,” katanya.
Terdahulu, kompaun sehingga RM10,000 boleh dikenakan kepada individu yang melanggar SOP ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan Covid-19.
Ia Berdasarkan paparan di e-Warta Persekutuan, menerusi Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan hari ini, kompaun berkenaan akan berkuat kuasa 11 Mac depan.
Ketika ini denda RM1,000 dikenakan kepada individu atau syarikat yang dikesan melakukan kesalahan berkenaan.
Menerusi pindaan itu juga, syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000.
Selain itu, orang ramai yang melakukan kesalahan Ordinan Darurat boleh ditangkap, manakala individu dijangkiti atau disyaki terkena jangkitan atau menjadi kontak pula boleh dipakaikan dengan peranti pengesanan. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/26/isu-kenaikan-kompaun-jangan-tabur-kebencian-rakyat/

