KAWALAN sempadan negara antara Malaysia dengan Thailand akan diperketatkan susulan insiden sekumpulan individu menyerang pasukan keselamatan negara jiran itu, kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kumpulan penyerang sekurang-kurang 15 individu yang sedang diburu polis Thailand itu akan cuba memasuki Malaysia.
“Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa diingatkan supaya memperketat kawalan di sempadan negara.
“Berikutan kejadian di Thailand itu, kita tidak menolak kemungkinan mereka (penyerang terbabit) akan cuba masuk (ke Malaysia). Sebarang kemungkinan boleh berlaku,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat tapak projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, Kelantan yang baharu, hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.
Media sebelum ini melaporkan dua anggota renjer maut, manakala seorang lagi rakan mereka parah dalam letupan bom paip dan insiden berbalas tembakan di kampung di Ra-ngae, Narathiwat yang terletak di selatan Thailand, kelmarin.
Ketua Polis Ra-ngae, Piyapak Thongpanlertkun, dipetik sebagai berkata dalam kejadian jam 6.50 pagi (waktu tempatan) itu, 16 anggota renjer yang sedang berehat di dalam khemah selepas melakukan rondaan di kawasan berkenaan, dikejutkan dengan beberapa letupan. – Malaysiapost

