Jakim diarah adakan perbincangan tambah baik undang-undang syariah

0
1

JAWATANKUASA Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bersidang dan berbincang bagi menambahbaik undang-undang Syariah. 
Langkah itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada pada Khamis lalu  mengetepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai satu kesalahan jenayah. 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad, berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Penasihat Undang-Undang Jakim berhubung kesan dan implikasi yang berbangkit daripada keputusan Mahkamah Persekutuan itu. 
“Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jakim telah diarahkan untuk bersidang dan berbincang bagi melihat ruang penambahbaikan undang-undang syariah yang boleh dilaksanakan, khususnya berkenaan dengan kesalahan jenayah syariah.
“Jawatankuasa itu akan berunding dengan negeri-negeri dan pihak berkepentingan dalam usaha untuk memperkasakan dan menyeragamkan undang-undang syariah di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 
Justeru itu, beliau menyeru agar semua umat Islam di negara ini dan seluruh rakyat Malaysia menghormati penghakiman yang diputuskan dan tidak mencetuskan sebarang spskulasi. 
“Semua pihak diminta bertenang dan tidak memberikan ulasan atau pandangan yang boleh mencetuskan suasana yang tidak sihat, serta boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian dalam negara kita yang tercinta ini,” katanya. 
Jelas Dr Zulkifli, sudah pasti penghakiman berhubung kes tersebut dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan panel hakim berpandukan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya lagi, Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menjunjung Islam sebagaiagama bagi Persekutuan, menjadikan kedudukan agama Islam di negara ini lebih istimewa berbanding agama lain.
“Ini sepertimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam kes-kes terdahulu.
“Sebagai seorang Menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, prinsip Perlembagaan ini akan terus dijunjung dan dipertahankan,” katanya.
Pada 25 Februari lalu, panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang seorang lelaki terhadap Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang berhubung kesalahan seks luar tabii.
Penghakiman antara lain menyebut seksyen tersebut belum secara sah digubal oleh badan perundangan negeri Selangor, selain perkara yang dibahas dalam seksyen tersebut hanya boleh digubal melalui Parlimen. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here