Isu buku teks sejarah: Asyraf Wajdi enggan mohon maaf kepada Maszlee

0
1

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki enggan memohon maaf kepada bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung isu buku teks Sejarah Tingkatan empat  yang didakwa dimanipulasikan dan mengagung-agungkan komunis.

Malah, Asyraf turut bertegas mempertahankan kenyataannya sebelum ini dengan mendakwa tidak pernah memetik nama sesiapa termasuk Maszlee ketika membuat kenyataan mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menarik balik buku teks terbabit.

Bagaimanapun, Asyraf tetap mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai pihak yang bertanggungjawab ‘mengagung-agungkan komunis’ dalam buku tersebut.

“Cuba semak balik saya punya kenyataan, satu patah perkataan pun saya tidak sebut nama dia (Maszlee), saya hanya beritahu soal kandungan buku teks Sejarah Tingkatan Empat ini perlu ditarik balik dan perlu dipinda.

“Dan penulisan kandungan buku teks ini dimanipulasi dan berlaku zaman kerajaan Pakatan Harapan,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Semalam, menerusi laporan media, Maszlee memaklumkan bahawa beliau sudah mengarahkan peguamnya menghantar surat tuntutan undang-undang kepada Asyraf.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu meminta Asyraf membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan kerana fitnah berhubung isu buku teks Sejarah Tingkatan Empat yang dibangkitkannya sebelum ini.

Maszlee menjelaskan proses penulisan buku teks itu sudah bermula pada tahun 2017 dan ketika itu Menteri Pendidikan adalah Datuk Seri Mahdzir Khalid daripada Umno.

Namun, kata Asyraf  dakwaannya semalam melalui sesi perbincangan yang disiarkan di laman Facebook Pemuda Umno Malaysia yang bertajuk ‘Buku teks sejarah dimanipulasi-komunis pula diagungkan?’ malam tadi itu berdasarkan kelulusan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) pada 24 April 2018 dan kemudiannya perlu mendapat kelulusan kabinet bagi membolehkan proses pencetakan.

Asyraf mendakwa pada tarikh 24 April itu, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membubarkan parlimen dan jemaah kabinat BN sudah terbubar.

“Antara perkara menjadi pertikaian ataupun menjadi isu, yang peringkat Pemuda (Umno) sendiri cetuskan adalah apabila kita melihat apa berlaku dibawah kerajaan PH.

“Tapi ramai mengatakan Kementerian Pendidikan kata 24 April 2018 DSKP meluluskannya (zaman BN) maknanya sebelum kerajaan PH.

“Tapi, kena ingat parlimen dibubar pada 7 April 2018, persoalannya kalau sudah diluluskan di DSKP pada 24 April, saya difahamkan biasanya kabinet yang perlu meluluskan sebelum proses penulisan buku teks ini akan mula dilakukan dan akhirnya dicetak.

“…dan kena ingat percetakan buku teks untuk Sejarah Tingkatan 4 ini dibuat pada tahun 2019.

“Jadi, di antara April 2018 hingga 2019 proses penulisan itu berlaku bukan zaman kerajaan BN kerana Parlimen sudah terbubar, 24 April DSKP ini diluluskan sebagai asas untuk penulisan buku teks ini dan dicetak,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/24/buku-sejarah-agungkan-komunis-asyraf-wajdi-patut-tanya-menteri-umno/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here