ISU posmen melastik seekor anjing peliharaan yang tular baru-baru ini selesai apabila lelaki itu memohon maaf kepada pemilik haiwan berkenaan.

Insiden itu mendapat perhatian banyak pihak selepas Malaysia Independent Animal Rescue’ (Miar) memuat naik video kejadian itu di Facebook berhubung tindakan posmen tersebut.
Menerusi perkongsian video di Facebook ‘Aku Budak Kluang’ semalam, memaparkan pertemuan antara pemilik anjing bersama posmen berkenaan dikenali sebagai Dolah.
Dalam video itu, Dolah mengaku bersalah dan menyesal di atas perbuatannya mencederakan anjing itu dan berharap agar isu tersebut tidak dipanjangkan oleh pemilik anjing berkenaan.
Malah, disebabkan kejadian berkenaan, dia telah menerima notis penggantungan kerja daripada Pos Malaysia.
Menerusi video itu, memaklumkan kedua-dua pihak iaitu Dolah dan pemilik anjing berkenaan telah berdamai.
“Alhamdulillah..Di dari Jumaat yang mulia ini segalanya dipermudahkan dan telah selesai isu Dollah posmen bersama pemilik anjing.
“En Siva dan Pn Magesh sudi menerima kunjungan kami dan melayan kami dgn penuh kemesraan. Apabila duduk semeja titik persamaan telah dijumpai dan titik perbezaan telah kita hindari.
Pemilik Facebook berkenaan turut mengucapkan tahniah atas sikap profesional orang Kluang.
“Semoga keharmonian masyarakat di Kluang dapat kita kekalkan. Terima kasih En Siva dan Pn Magesh, Dollah dan isteri serta semua yg terlibat mewujudkan suasana damai ini
“Di mana semua manusia hidup dengan aman damai, itu adalah sebenarnya sebuah kehidupan yang dihuni oleh manusia,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, seorang posmen Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) yang disyaki terlibat dalam kejadian melastik anjing menggunakan gelang getah digantung tugas sementara.
Sehubungan itu, Pos Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kakitangannya yang bertugas di Pos Malaysia cawangan Kluang digantung tugas sementara bagi memberi laluan siasatan dalaman dijalankan. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/23/pemilik-anjing-dilastik-posmen-buat-laporan-polis/

