MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin bersama empat guru menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Putrajaya Presint 11, hari ini.
Beliau berkata, empat individu terbabit adalah antara 55,539 guru berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 yang tersenarai menerima suntikan vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Pagi ini saya bersama guru KPM telah menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Proses pengambilan vaksin ini melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dibuat dengan penuh terancang dan teratur. Tahniah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)!
“Selepas menerima suntikan tadi, ada sahabat wartawan yang bertanya ‘Apa rasa semasa disuntik?’. Secara spontan saya menjawab, ‘rasa macam disuntik’. Nak kata sakit, tidaklah rasa sakit. Santai sahaja,” katanya menerusi Facebook.
Menurutnya, selepas disuntik, penerima vaksin akan dipantau selama 30 minit di pusat pengambilan vaksin.
“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak merasa sebarang kesan sampingan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sudah menghantar senarai untuk 55,539 guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berisiko tinggi menerima suntikan vaksin Covid-19 kepada MOSTI dan KKM.
“Guru dalam senarai tersebut akan menerima vaksin dalam fasa pertama, iaitu mulai Februari hingga April 2021.
“Apa yang penting, kami menyeru agar semua guru dapat mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera agar program imunisasi ini dapat berjalan lancar secara menyeluruh,” jelasnya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/27/55539-guru-terima-suntikan-vaksin-fasa-pertama-radzi-jidin/

