KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa badan perundangan Selangor tiada kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah, akan membuka ruang peruntukan jenayah syariah yang lain untuk dicabat pada masa hadapan.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata ia boleh berlaku walaupun mahkamah hanya menyatakan Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 sahaja tidak sah.
“Penghakiman Mahkamah Persekutuan hari ini antara lain memutuskan Dewan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa membuat undang undang kesalahan jenayah syariah berkaitan dengan liwat.
“Walaupun Perlembagaan menyatakan ‘kesalahan melanggar perintah agama Islam’ adalah bidang kuasa DUN tetapi ia mesti tidak termasuk di dalam senarai Persekutuan yang menyatakan jenayah adalah bidang kuasa Persekutuan.
“Oleh itu Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.
“Kedudukan undang-undang syariah berkaitan liwat bagi negeri lain selain Wilayah Persekutuan juga terjejas. Hal ini sangatlah mendukacitakan,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya.
Zainul Rijal menambah, beliau sedang memikirkan langkah proaktif bagi membetulkan keadaan itu dari sudut aplikasi undang-undang syariah dalam kerangka untuk mengarusperdana syariah.
Terdahulu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim, dalam penghakimannya berkata hanya Parlimen ada bidang kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.
Beliau dilaporkan berkata, Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membenarkan hukuman bagi seks luar tabii, adalah tidak berperlembagaan.
“Peruntukan itu (Seksyen 28) adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, Seksyen 28 adalah tidak konsisten dan terbatal,” katanya pada persidangan video menggunakan aplikasi Zoom.
Pada 14 Disember lalu, panel diketuai Tengku Maimun menangguhkan keputusan mahkamah terhadap usul dibawa seorang lelaki bagi mencabar Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yakni peruntukan digunakan bagi mendakwanya atas pertuduhan cubaan melakukan seks luar tabii.
Pada 21 Ogos 2019, ketua pendakwa syarie menerusi pendakwa syariah memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 28 enakmen berkenaan terhadap lelaki itu di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.
Lelaki itu didakwa atas pertuduhan cuba melakukan seks luar tabii dengan seorang lelaki lain di sebuah rumah di Selangor pada 9 November 2018.
Bagaimanapun, lelaki itu mengaku tidak bersalah dan perbicaraan terhadapnya di Mahkamah Tinggi Syariah ditangguhkan sementara menanti keputusan hasil usulnya.
Pada 14 Disember lalu, mahkamah mendengar hujah daripada peguam lelaki itu, Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang berhujah bahawa badan perundangan Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan terbabit kerana perkara dalam peruntukan berkenaan, yakni seks luar tabii, terletak dalam Senarai Persekutuan, dalam Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost
Foto Kredit: Berita Harian

