HARIMAU jantan yang ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia di Ladang Felda Kerteh 2, Kemaman, Isnin lalu kerana menyerang ternakan penduduk kini semakin pulih.
Haiwan berkenaan dilaporkan cedera di bahagian kaki belakang akibat ditembak dan dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) Sungkai, Perak untuk rawatan susulan.
Perhilitan memaklumkan, harimau terbabit yang diberi nama Awang Rasau menunjukkan perkembangan positif.
“Awang Rasau menunjukkan peningkatan selera makan dan mampu mengangkat kepala serta mengubah kedudukan badannya apabila menerima sentuhan.
“Bagaimanapun, kaki belakang Awang Rasau masih tidak boleh digerakkan lagi. Buat masa ini, ia ditempatkan dalam kurungan sementara sebelum proses kuarantin dijalankan,” menurut Perhilitan yang turut berkongsi video perkembangan terbaru harimau jantan terbabit di Facebook.
Perhilitan turut memohon orang ramai sentiasa mendoakan Awang Rasau bertambah sihat untuk dilepaskan semula ke habitat asalnya.
Malaysiapost sebelum ini melaporkan seekor harimau jantan berjaya ditangkap Ladang Felda Kerteh 2, Kemaman.
Harimau berkenaan berjaya ditangkap melalui tembakan ubat pelali dalam satu operasi dijalankan Perhilitan.
Perhilitan memaklumkan harimau itu tercedera kerana terdapat tiga kesan tembakan pada bahagian kaki belakangnya.
Operasi tangkap dan dipindah haiwan pemangsa itu susulan aduan mengenai serangan harimau Belang itu ke atas ternakan penduduk pada November dan Disember tahun lalu. – Malaysiapost

