Zahid minta anti-Umno henti adu domba tentang tua, muda

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menjelaskan gandingan pemimpin lama dan baharu dalam parti itu membuatkan ia menjadi parti yang kuat.

Katanya, gandingan itu adalah sinergi padu zaman berzaman yang menggabungkan antara pengalaman dan kreativiti sejak penubuhannya pada 11 Mei 1946.

“Orang lama Umno tidak perlu pun menggunakan gelaran ‘council of elders’ untuk tampak hebat. Yang penting jujur dalam melaksanakan agenda parti demi kepentingan rakyat dan negara.

“Orang baru Umno tidak pula menggunakan gelaran MUDA untuk membuktikan mereka muda. Kerana pada akhirnya mereka tua jua. Panggilan Pemuda jauh lebih ikhlas dan bermakna.

“Tidak perlu juga ‘mencopy’ gelaran angkatan laut acah-acah nampak garang dan berani. Tua dan muda dalam Umno berjuang atas asas falsafah yang sama agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi hantaran penuh sinis di Facebooknya.

Ahmad Zahid berkata dasar Umno tidak menolak seseorang pemimpin semata-mata kerana berumur dan tidak pula menghalang orang muda memegang jawatan jika mendapat sokongan akar umbi.

Kerana itu katanya, dalam Umno ada Pemuda dan Puteri yang mana semua ada peranan besar.

“Jika ada yang mengatakan Umno mengenepikan yang muda, kenyataan itu sangat tersasar.

“Umno sentiasa mengutamakan yang muda. Cumanya pengetahuan yang lama dari atas memberi panduan.

“Apapun saya tabik kepada para Pemuda dan Puteri Umno yang ada sekarang ini,” katanya.

Beliau juga mengimbas lebih 200 mendaftar untuk mengisi 20 jawatan Exco Pemuda selepas parti tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana fitnah dan pembohongan.

“Begitu juga dengan Puteri. Begitu ramai menawarkan diri untuk memimpin. Begitu bersemangat sedangkan mereka tahu Umno sudah tiada apa-apa pada waktu itu.

“Pemuda serta Puteri Umno yang setia kini semua berada dalam saf Umno nan rapat dan tersusun. Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi di medan hadapan memperjuangkan parti dan pertiwi.

“Oleh itu saya pinta anti-Umno hentikan mengadu domba tentang tua dan muda Umno. Jangan khuatir, ahli dan barisan pimpinan Umno setiap peringkat usia tahu dengan yakin kemampuan dan peranan masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here