RM60 juta kos baik pulih runtuhan tebing Sungai Kelantan

0
1

PERUNTUKAN RM60 juta diperlukan bagi membaikpulih runtuhan tebing Sungai Kelantan yang menyebabkan 100 penduduk Kampung Jalan Pohon Celagi, Pasir Mas, terpaksa dipindahkan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, peruntukan itu bagi membolehkan tebing sungai berkenaan dibangunkan semula, termasuk meletakkan batu tebatan.

Sehingga kini, katanya, pihaknya belum memutuskan sama ada dana itu daripada kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat.

“Bagaimanapun, masalah ini akan diselesaikan dalam tempoh terdekat memandangkan runtuhan yang berlaku ini memerlukan tindakan mendesak.

“Buat masa ini, kita masih dalam pertimbangan untuk membina penempatan sementara kepada penduduk yang terjejas dalam kejadian runtuhan tebing itu, selain menggantikan dengan rumah baharu,” katanya, lapor BH.

Mohd Amar berkata, bagi penduduk yang menyewa, kerajaan negeri akan mempertimbangkan dari segi bantuan kewangan.

“Mungkin kerajaan negeri atau wakil rakyat akan menanggung bayaran sewa rumah penduduk terjejas dalam kejadian itu bagi tempoh enam bulan. Apapun kita akan putuskan perkara ini dalam tempoh terdekat.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan sedang mengenal pasti punca sebenar runtuhan dan setakat ini tiada lagi pergerakan tanah berlaku,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan pada Rabu lalu, penduduk di kampung berkenaan dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat apabila tebing sepanjang 200 meter berhampiran rumah mereka runtuh.

Runtuhan turut mengakibatkan sebuah rumah runtuh, manakala beberapa rumah lagi terjejas dan hampir runtuh namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Siasatan awal mendapati, runtuhan berlaku disebabkan terjahan air Sungai Kelantan ke tebing berkenaan. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/19/tanah-runtuh-di-pasir-mas-polis-buka-pos-kawalan-24-jam-untuk-keselamatan/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here