Buku sejarah agungkan komunis, Asyraf Wajdi patut tanya menteri Umno

0
1

KETUA Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki sepatutnya bertanya kepada Menteri Pendidikan dari Umno yang mengetuai Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2017 berhubung dakwaannya bahawa buku teks Sejarah Tingkatan 4 mengagungkan komunis.

Bekas Menteri Pendidikan era kerajaan Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik berkata untuk menggubal kurikulum sesuatu subjek, ia memerlukan proses yang panjang dan ia telah dijadualkan secara teratur.

Beliau berkata, kurikulum Sejarah telah disemak semula pada 2014 dan dilaksanakan pada 2017 bermula dengan murid Tingkatan Satu.

Katanya, ia bererti, kohort murid-murid Tingkatan Satu 2017 akan memasuki Tingkatan Empat pada 2020.

“Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) ini sebenarnya telah diperkenalkan pada 2017 menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang mula dilaksanakan pada 1989.

“Kesimpulannya mudah, KSSM ini telah bermula pada 2017, yang mana waktu itu Menteri Pendidikan adalah dari Umno.

“Dr Asyraf Wajdi boleh bertanya sendiri kepada Menteri waktu itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Asyraf Wajdi menerusi kenyataan berkata Pemuda Umno memandang serius fakta yang dimanipulasi dengan mengagungkan pihak komunis sebagai pejuang kemerdekaan dalam silibus dan sukatan buku teks Sejarah Tingkatan 4 KSSM.

Asyraf Wajdi mendakwa perkara itu semacam satu usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan PH memerintah.

Beliau mendakwa, ia bertujuan menanam benih ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan secara halus menyuci pemikiran pelajar bahawa fahaman sosialis dan komunis tidaklah buruk, malah diangkat sebagai antara ideologi yang memperjuangkan kemerdekaan.

Mengulas lanjut, Dr Maszlee yang juga Ahli Parlimen Renggam berkata proses penggubalan kurikulum sebenarnya mengambil masa beberapa tahun dan proses ini melibatkan panel pakar berpengalaman dalam subjek Sejarah.

Menurutnya, mereka terdiri daripada pakar sejarah terkenal dalam negara, pensyarah universiti, pensyarah Institut Pendidikan Guru, guru pakar dan guru-guru mata pelajaran Sejarah.

“Setiap kurikulum yang selesai digubal akan melalui proses ujian rintis di sekolah sebenar bagi memastikan kebolehlaksanaan kurikulum tersebut di samping mendapatkan pandangan guru-guru yang akan melaksanakan kurikulum tersebut.

“Melalui ujian rintis tersebut, penambahbaikan akan dilakukan berdasarkan pandangan guru-guru.

“Semua proses ini melibatkan beberapa fasa seperti pengkopsepsian kurikulum, pemetaan kurikulum, uji rintis dan pelaksanaan Dokumen Standard Sekolah Rendah (DSKP) dan kursus penataran. Ini semua mengambil masa tiga hingga lima tahun.

“Amat mustahil untuk PH melakukan semua ini dalam masa setahun lebih memerintah,” katanya.

Katanya lagi, ini bermakna untuk buku teks yang dicetak pada 2019 dan digunakan pada tahun 2020, prosesnya bermula sejak 2014/2015 lagi.

“Sekali lagi, saya nak beritahu kepada Dr Asyraf Wajdi, Menteri Pendidikan pada tahun 2015 adalah dari Umno. Boleh tanya beliau sendiri.

“Saya juga ingin menarik perhatian Dr Asyraf Wajdi bahawa melalui KSSM yang dimulakan pada 2017, Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP) menetapkan kandungan KSSM Sejarah adalah berbentuk kronologi yang membincangkan perihal kehidupan masyarakat dan negara daripada aspek politik, ekonomi dan sosial.

“Seperti dinyatakan di dalam DSKP; “Peristiwa sejarah disusun secara kronologi supaya murid dapat memahami proses perkembangan masyarakat dan negara yang menumpukan kepada pemahaman yang menyeluruh tentang pembinaan negara bangsa Malaysia.

“Ini bermula dari Zaman Prasejarah hingga kini. Ilmu tersebut membolehkan murid membuat perbandingan peradaban yang dicapai oleh negara luar dengan negara kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here