Hina Institusi Diraja: Pemuda Umno Johor mahu Kadir Jasin dikenakan tindakan

0
1

PEMUDA Umno Johor mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap wartawan veteran, A Kadir Jasin berhubung kenyataannya di Facebook semalam yang disifatkan tidak bertanggungjawab dan menghina Institusi Diraja.

Ketuanya Mohd Hairi Mad Shah, berkata pihaknya mengecam keras hantaran Kadir di laman Facebooknya bertajuk ‘Cerita Rakyat dan Payung Mahkota’ yang didakwa jelas berbentuk tuduhan.

Beliau berkata, tindakan A Kadir itu yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang yang bergelar Tokoh Wartawan.

“Pertama, ayat ‘Kita tentu masih ingat peranan Majlis Raja-raja masa kes 1MDB tengah memuncak pada tahun 2015.’ – dalam kenyataan dimuat naik di Facebook beliau menunjukkan jelas satu bentuk tuduhan.

“… atau jangkauan persepsi buruk terhadap Institusi Diraja dengan mengaitkan Majlis Raja-raja sebagai berperanan ketika kes 1MDB pada tahun 2015,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, A Kadir juga dalam hantaran sama berkata: “Sedikit sebanyak, jika perbahasan dalam masyarakat mengenai darurat dan penggantungan Parlimen ini tidak diatasi, kedudukan institusi raja akan turut dilibatkan.”

Katanya, kenyataan itu dilihat sebagai seolah-olah Kadir menghasut dan mengugut akan membabitkan kedudukan Institusi Diraja jika penggantungan Parlimen yang berlaku ketika ini tidak diatasi.

“Pemuda Umno Negeri Johor menghormati dan memegang prinsip kebebasan bersuara dalam sebuah negara demokrasi, tetapi sebagai ‘orang lama’ dalam bidang penulisan, Kadir A Jasin sepatutnya tahu garis batasan yang tidak patut ‘dicuit’ dalam penulisan beliau termasuk mempersoal dan menghina Institusi Diraja.

“Ini bukan kali pertama Kadir A Jasin melakukan tindakan seperti ini dan pada tahun 2018 juga beliau pernah dikecam dan ramai pihak meminta Tokoh Wartawan Veteran ini disiasat berhubung artikelnya yang didakwa menghina dan memburukkan Institusi Diraja terutama Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah,” katanya.

Justeru, beliau berkata, Pemuda Umno Johor menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Kadir yang sekali lagi menulis tanpa tanggungjawab serta membuat prasangka buruk terhadap Institusi Diraja di negara ini.

Semalam dalam hantaran di Facebook, Kadir berkata, beliau yakin Raja-raja Melayu peka dengan keluh-kesah dan pertelingkahan di kalangan rakyat jelata mengenai darurat dan penggantungan Parlimen.

“Kita tentu masih ingat peranan Majlis Raja-raja masa kes 1MDB tengah memuncak pada tahun 2015.

“Sedikit sebanyak, jika perbahasan dalam masyarakat mengenai darurat dan penggantungan Parlimen ini tidak diatasi, kedudukan institusi raja akan turut dilibatkan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here