Penilaian keperluan vaksin kepada bekas pesakit Covid-19

0
1

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan membuat penilaian keperluan bekas pesakit Covid-19 untuk menerima suntikan vaksin, terutama bagi yang mendapat jangkitan pada tahap satu hingga tiga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya membabitkan jangkitan tidak bergejala atau gejala ringan, pertahanan antibodi yang terjana mungkin tidak memadai serta harus mendapatkan dua suntikan vaksin.

“Tetapi, jika jangkitan pada tahap 4 atau 5 antibodi terjana lebih kekal dan tinggi, kita akan buat penilaian hal berkaitan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Malaysia bakal mencatat sejarah dengan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula esok.

Dr Noor Hisham menjadi antara individu terawal akan menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech esok selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali gus menandakan bermulanya program imunisasi di negara ini.

Kata beliau, pelancaran program itu menandakan titik permulaan penamatan penularan jangkitan Covid-19 dalam negara, iaitu perlindungan dalaman menerusi vaksin, selain perlindungan luaran menerusi kepatuhan kepada segala tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam serta kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Dalam meluahkan kesyukuran, beliau berkata, suntikan vaksin adalah ikhtiar dan usaha dilakukan kerajaan, di samping berserah kepada Allah SWT.

“Alhamdulillah… kita sebagai petugas kesihatan hanya boleh ikhtiar dan berusaha dengan sebaik mungkin sebelum bertawakal kepada Allah SWT,” katanya.

Muhyiddin dijadual menerima suntikan pertama vaksin di Pusat Kesihatan Putrajaya, Presint 11 pada jam 3 petang, diikuti seorang anggota KKM dan Dr Noor Hisham sebagai individu ketiga diikuti seorang lagi petugas KKM.

Vaksin Pfizer perlu disuntik dua kali dengan suntikan kedua pada hari ke-21 selepas suntikan pertama. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here