PEMBAYARAN Fasa I Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dipercepatkan dari Mei kepada penghujung Februari ini, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Kata beliau, pembayaran membabitkan peruntukan RM1.93 bilion itu akan dibuat secara berperingkat mulai esok bagi membantu kelangsungan hidup rakyat, terutama golongan mudah terjejas dan pekerja yang
bergantung kepada upah harian.
Menurutnya, kerajaan sentiasa komited bagi memastikan bantuan diperuntukan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
“Seramai 4.4 juta daripada 8.45 juta penerima akan mendapat RM300 setiap penerima bagi kategori isi rumah, manakala 4.05 juta penerima mendapat RM150 seorang bagi kategori individu bujang.
“Bayaran bagi isi rumah dan individu bujang akan dikreditkan ke akaun bank, manakala penerima tidak mempunyai akaun bank, boleh mengambil bayaran melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) Jumaat ini.
“Penerima di Sabah dan Sarawak tanpa akaun bank pula akan menerima bayaran di lokasi akan diumumkan kelak, bersekali dengan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional Fasa Kedua (BPN 2.0), antara 1 Mac hingga 1 April ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Sebelum ini dilaporkan, tarikh pendaftaran baharu dan kemas kini bagi BPR dilanjutkan hingga 25 Februari ini, selain penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 dan BPN B40 yang lulus sebelum ini tidak perlu membuat pendaftaran baharu atau kemaskini jika tiada sebarang perubahan maklumat. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

