MAJORITI usul Mesyuarat Perwakilan Pemuda Bahagian mahu hubungan dengan PAS melalui kerjasama Muafakat Nasional (MN) dipertahankan.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun PAS sudah menyertai Parti Perikatan Nasional (PN) sebagai salah sebuah parti komponen, rata-rata memberi maklumbalas bahawa kerjasama di peringkat akar umbi antara Umno dan PAS lebih akrab di kebanyakan negeri.
“Ini kerana kerjasama dengan PAS lebih bermakna dan bernilai apabila terjalin selama 22 bulan ketika masing-masing tiada kuasa dan diuji dengan kejatuhan.
“Cuma hari ini, apabila ghanimah harta dan kuasa di depan mata, semua jadi alpa dan leka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Malaysia diadakan secara dalam talian, malam tadi.
Asyaraf berkata, antara perkara lain yang turut disentuh dalam mesyuarat berkenaan adalah berbincang panjang lebar mengenai hala tuju parti dalam realiti politik semasa.
“Pemuda Umno bersepakat untuk terus memperkasakan parti dengan memfokuskan beberapa perkara seperti utamakan solidariti parti dan menentang sebarang bentuk gerakan kabilah dalam parti dan menghormati institusi dan tradisi parti.
“Selain turut memartabatkan integriti, disiplin parti dan nilai akhlak dalam kepemimpinan dan rejuvenasi parti dengan idealisme dan budaya baharu yang murni berteraskan acuan Islam,” katanya.
Sementara itu, dalam situasi Covid-19 yang masih melanda negara, Asyraf berkata mesyuarat bersetuju untuk terus menjadi jurubicara dan penyampai denyut nadi dan suara hati rakyat kepada pihak Kerajaan terutamanya menyentuh isu-isu yang melibatkan realiti kesusahan dan kepayahan mereka menghadapi pandemik Covid-19.
“Dua talian atau Hotline Pemuda untuk i-Sinar akan diteruskan bagi mendapatkan maklumbalas rakyat dalam isu-isu lain termasuk memanfaatkan platform media sosial.
“Mesyuarat menerima laporan lengkap keberkesanan inisiatif menggerakkan 191 Pemuda Bahagian seluruh Malaysia bagi membantu rakyat mensanitasi tempat-tempat awam termasuk sekolah-sekolah menengah bagi mencegah Covid-19.
“Lantaran permintaan yang tinggi daripada masyarakat termasuk persedian pembukaan sekolah rendah bermula Mac, inisiatif ini akan diteruskan secara percuma dengan menggerakkan sukarelawan Skuad Sabil dan Pemuda Umno Bahagian-Bahagian di seluruh Malaysia,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

