JIKA sebelum ini akaun laman Instagram (IG) pelakon Janna Nick dinyahaktif, kini kembali boleh diakses selepas kontroversinya menggelar salah seorang ahli kumpulan Blackpink dengan nama kurang enak.
Semakan Malaysiapost di laman IG, akaun media sosial pelakon itu kembali membuat perkongsian mempromosikan drama lakonannya, Marry Me Senorita.
“Kita tidak mampu mengawal bagaimana insan lain membuat tafsiran dan menerima tenaga yang kita lontarkan. Semuanya diterjemahkan mengikut kanta peribadi setiap individu berdasarkan apa yang sedang mereka lalui.
“Jadi, persepsi itu bukan tertakluk pada diri kita semata-mata. Teruskan menjadi diri sendiri dengan penuh integriti dan cinta sepenuhnya,” katanya di ruangan kapsyen sebentar tadi.
Bagaimanapun, ruangan komen IG pelakon itu telah dihadkan kepada semua pengikutnya.
Tinjauan di laman Twitter pula mendapati akaun pengacara program Melodi itu belum dapat diakses.
Semalam, nama Janna Nick mendapat perhatian setelah dia dikecam hebat oleh peminat K-pop berikutan isu tersebut.
Janna juga telah tampil membuat laporan polis setelah menyifatkan kontroversi yang tular adalah satu perbuatan fitnah dan berikutan itu akaun IGnya yang mempunyai 6.2 juta pengikut dan Twitternya turut gagal diakses.
Terdahulu, kontroversi timbul apabila Janna dikatakan mempersendakan satu watak dalam telefilem arahannya, Delen dengan pangilan Lisa Blackpig mengundang hebat jutaan netizen sehingga wujudnya tanda pagar #JannaNickGoingToJailParty.
Tanda pagar itu turut menjadi tular dalam Twitter seluruh dunia.
Kebanyakan peminat beranggapan gelaran Lisa Blackpig itu dikaitkan dengan bintang terkemuka K-pop, Lalisa Manoban atau Lisa Blackpink.
Pada masa sama, video lama Janna yang dikatakan pernah mempersendakan kematian penyanyi kumpulan SHINee, Kim Jong-hyun pada 2017 juga kembali diungkit dan menambah kemarahan netizen. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

