Permohonan lucut hak wang milik Umno Johor ditolak mahkamah

0
1

PIHAK pendakwaan gagal dalam permohonan melucut hak wang milik Badan Perhubungan Umno Negeri Johor berjumlah RM677,872.55 hari ini

Wang berkenaan sebelum ini disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa berkaitan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan dibuat pihak pendakwa raya selaku pemohon, terhadap Badan Perhubungan Umno Negeri Johor sebagai responden.

Dalam penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, mahkamah mendapati pemohon gagal membuktikan wang yang disita adalah hasil daripada aktiviti haram, dan Badan Perhubungan Umno Negeri Johor telah mengemukakan keterangan untuk membuktikan bahawa wang yang disita diterima daripada sumber-sumber lain.

“Atas imbangan kebarangkalian, mahkamah dapati pemohon gagal membuktikan bahawa wang yang disita adalah hasil daripada aktiviti haram. Oleh itu, permohonan pemohon ditolak,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim, manakala peguam Syahrul Syazwan Salehin mewakili Badan Perhubungan Umno Negeri Johor.

Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwa raya mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, agensi itu telah memfailkan permohonan tersebut terhadap 41 entiti yang terdiri daripada individu, syarikat dan parti politik untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta, yang mempunyai kaitan dengan 1MDB yang SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here