Polis sedia pasukan pengiring awasi pergerakan vaksin Covid-19

0
2

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menyediakan pasukan pengiring untuk jaminan keselamatan bagi setiap pergerakan vaksin Covid-19 yang tiba di negara ini.

Jaminan itu diberikan Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad.

Beliau berkata, bagi ketibaan kumpulan pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech hari ini, 150 anggota PDRM terbabit mengiringi 312,390 dos vaksin itu, selain pembabitan aset seperti motosikal berkuasa tinggi, kereta peronda polis dan balai polis bergerak.

Katanya, sebaik tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kumpulan pertama vaksin itu dihantar ke tiga lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) milik syarikat logistik DHL iaitu di Subang, Bayan Lepas dan Senai.

“Pergerakan vaksin untuk penghantaran ke 16 PSV milik Kementerian Kesihatan (KKM) di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor pula akan dimulakan esok.

“PDRM sudah mengenal pasti laluan selamat dan anggota dari pelbagai jabatan termasuk trafik serta cawangan khas akan terbabit dalam penugasan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Azri berkata, selain terbabit dalam penugasan mengiringi semua pergerakan vaksin berkenaan, PDRM bertanggungjawab mengawal PSV milik syarikat logistik dan KKM, dengan menyediakan anggota statik serta balai polis bergerak.

Beliau berkata, PDRM akan sentiasa membuat penilaian mengenai kemungkinan terdapat ancaman ketika pergerakan dan penyimpanan vaksin itu.

“Kami menganggap ini tugasan sangat penting kerana negara sudah menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin berkenaan dan ia amat penting bagi membendung penularan Covid-19,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata tiada keperluan untuk jalan di Selangor ditutup bagi memberi kawalan keselamatan terhadap pergerakan vaksin.

“Persediaan adalah baik untuk kami tentukan keselamatan vaksin berkenaan dan polis akan mengawal ketat serta tiada keperluan untuk melakukan penutupan jalan,” katanya. – Malaysiapost

Foto : Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here