PELAKON dan usahawan kosmetik, Syifa Melvin mengeluarkan belanja RM12,800 untuk melakukan rawatan Flap-Less (sejenis pembedahan lasik) demi mengubati masalah rabun yang dihadapi.
Syifa atau nama sebenar Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, 27, yang mempunyai masalah rabun selama 15 tahun melakukan rawatan tersebut di Ikonik Eye Specialist Centre milik penceramah terkenal yang juga pakar bedah mata, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad semalam.
“Selepas melakukan pembedahan, saya tidak boleh ungkap perasaan dengan kata-kata, rasa sebak kerana 15 tahun rabun dan pakai cermin mata. Mata sebelah kanan pun pernah terkena jangkitan teruk kerana ada luka akibat pakai kanta lekap.
“Bangun tidur mesti cari cermin mata dulu, seksa sangat. Alhamdulillah akhirnya, Tuhan buka pintu hati selepas dua tahun merancang untuk melakukan rawatan mata,” katanya dalam video menerusi Insta Story semalam.
Syifa yang juga adik kepada pelakon Syatilla Melvin berkata, sebelum ini dia bertangguh melakukan rawatan mata kerana bimbang prosedur tersebut menyakitkan.
Katanya, kos RM12,800 itu termasuk pemeriksaan mata menggunakan enam mesin, pembedahan dan beberapa ubat rawatan mata
“Kalau tahu betapa cepat dan senang proses pemulihan sudah lama saya buat. Proses pembedahan begitu cepat, sekejap sahaja. Semasa pembedahan Prof Muhaya turut memasang zikir dan ayat al-Quran untuk kita berasa tenang dan positif.
“Saya datang melakukan pemeriksaan mata dan pada hari yang sama memutuskan untuk buat terus pembedahan. Patutlah selama ini pening kepala, saya sangkakan sinus rupanya tahap rabun semakin meningkat kepada 325. Sekarang sudah tidak rabun.
“Saya berdoa agar lebih ramai yang dapat merasai nikmat bebas rabun seperti saya,” ujarnya lagi. – Malaysiapost

