LEBIH 700 penduduk Kampung Kubang Jelai, Tokai, Pendang, Kedah membantah tindakan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew untuk memindahkan 430 anjing termasuk kucing jalanan dari pusat pengurusan haiwan terbiar, Pak Mie Shelter di Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar ke sebuah gudang persendirian di kampung itu esok.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Kubang Jelai, Md Daud Rusdi Hassan berkata, ia berikutan majoriti penduduk di kampung itu beragama Islam, selain gudang itu berhampiran masjid.
Katanya, penduduk turut bimbang sisa buangan najis haiwan itu akan disalirkan ke sungai (tali air MADA) berhampiran kerana ia menjadi sumber air hampir 100 hektar sawah di kawasan itu.
“Saya dapat tahu Ustaz Ebit Lew mahu menyewa sebuah gudang di kampung ini, kami semua terasa hati kerana penduduk di sini boleh dikatakan semuanya Islam.
“Walaupun gudang itu hak persendirian seorang daripada penduduk di sini, namun kehadiran anjing pasti akan mengganggu kami dengan salakan serta bau yang kurang menyenangkan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Md Daud berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang malam tadi dan usaha untuk menghubungi Ustaz Ebit Lew masih gagal bagi memaklumkan hal berkenaan.
“Penduduk kampung juga akan membuat demonstrasi aman esok bagi membantah penempatan haiwan ini,” katanya.
Sementara itu, Dr Mohd Hayati berkata, pihaknya akan membawa perkara itu ke mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri agar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memberi masa kepada kerajaan negeri mencari tempat baharu.
Katanya, pemindahan itu dilakukan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembetungan Kota Setar.
“Kita ada beberapa cadangan di lokasi lain yang jauh dari penempatan manusia untuk dijadikan pusat pengurusan anjing dan kucing Pak Mie Shelter.
“Buat masa sekarang lokasinya perlu dirahsiakan. Pada mesyuarat lalu, tidak ada pegawai daerah yang sanggup menerima penempatan haiwan ini, tetapi selepas mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri minggu depan, kita harap ada penyelesaian terbaik untuk dapatkan tempat yang sesuai dan tidak mengganggu persekitaran masyarakat,” katanya.
Menerusi perkongsian Ustaz Ebit di laman Facebook Rabu lalu, beliau menyatakan hasrat untuk mencari gudang atau tanah di sekitar Alor Setar bagi menempatkan 300 anjing dan 130 kucing.
Penjaga tempat itu dikenali sebagai Mak Intan telah meninggal dunia akibat kanser, dan dalam masa sama kawasan terbabit akan diambil semula bagi tujuan pembangunan.
Justeru, ia mendapat perhatian dari Ustaz Ebit untuk membantu meneruskan misi bantuan Mak Intan kepada haiwan itu.
Keesokan harinya, menerusi hantaran di laman sosial tersebut, Ustaz Ebit bersyukur kerana telah mendapat sebuah gudang di kawasan Pendang untuk disewa bagi dijadikan zoo taman dengan sewa RM4,300 sebulan.-Malaysiapost

