Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JPPH) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) lebih teliti dalam perancangan serta menyediakan pelan menyeluruh bagi pembukaan sesi sekolah pada awal Mac ini.
Kenyataan Dr Maszlee Malik, Nik Nazmi Nik Ahmad, Teo Nie Ching dan Datuk Dr Hasan Baharom itu menyebut ramai ibu bapa dan guru tertanya-tanya apakah alasan utama untuk mereka kembali ke sekolah di kala pandemik masih belum benar-benar surut dan masih terdapat negeri serta kawasan dikategorikan zon merah.
“Kekalutan pengumuman tanpa alasan yang diberikan telah menimbulkan 1,000 satu persoalan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, mereka mengambil maklum keputusan mengejut KPM untuk membuka kembali sesi persekolahan yang terganggu akibat peningkatan kes Covid-19 awal Mac ini.
“Kami turut mengambil maklum kelemahan dan kekangan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam konteks membuat keputusan membuka kembali sesi persekolahan,” katanya.
Sehubungan itu, menurut kenyataan itu lagi, kerajaan wajib mempunyai pelan menyeluruh bagi semua senario melibatkan pandemik Covid-19 agar ibu bapa, pelajar, guru serta semua yang terkesan dapat mengusahakan langkah persediaan yang rapi.
“Maka, kami ingin mencadangkan (langkah-langkah) iaitu pertama, pembukaan semula sekolah di seluruh negara haruslah mengambil kira status negeri tidak sama seperti PKPP dan PKPB.
“Kedua, memberi kuasa autonomi kepada Pihak Sekolah yang merangkumi pengurusan sekolah, PIBG dan Lembaga Pengarah (jika ada) untuk membuat keputusan bersama buka atau tutup sekolah sendiri kerana setiap lokasi yang berbeza memiliki kes dan keadaan yang berbeza.
“KPM tidak boleh membuat keputusan ‘pukul rata’ (‘blanket decision’) ketika pandemik sedang melanda negara kita,” tegasnya.
Menurutnya kenyataan itu, dalam masa sama, sekolah juga harus memberi ruang kepada guru untuk fokus mengajar ketika sekolah dibuka kelak.
“Semua tugas pentadbiran, pembinaan kertas kerja dan beban kerja kekemasan kelas tidak boleh menjadi keutamaan buat masa ini.
“Terakhir, guru-guru dan kakitangan sekolah harus menjadi keutamaan (Golongan Pertama) dalam program vaksin kerana saat sekolah beroperasi kembali, guru adalah frontliners yang berjuang untuk mendidik anak bangsa,” katanya. – Malaysiapost. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan
https://malaysiapost.com.my/2021/02/19/sesi-persekolahan-bermula-mac-depan/

