MALAYSIA akan menjadi salah satu negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G menggunakan internet dan perkhidmatan awan dalam masa sebenar untuk membolehkan maklumat dikongsi serta-merta.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu akan direalisasikan menjelang hujung tahun ini, di mana teknologi 5G akan mula dinikmati oleh rakyat secara berperingkat.
Katanya, semua syarikat telekomunikasi berlesen akan mendapat akses infrastruktur yang sama rata, dalam memasarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan mereka.
“Perkongsian kos infrastruktur ini membolehkan syarikat telekomunikasi menjana pulangan lebih tinggi dan seterusnya dapat memberikan khidmat 5G yang lebih baik dan murah kepada pengguna.
“Keadaan ini akan melonjakkan penggunaan 5G dan meningkatkan keupayaan ekonomi dalam mencetuskan lebih banyak inovasi produk dan perkhidmatan,” katanya pada Majlis Pelancaran MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, hari ini.
Beliau berkata teknologi 5G merupakan satu ‘gamechanger’ kerana akan wujud lebih banyak perkhidmatan pintar yang membawa kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
“Hal ini kerana 5G bukan sahaja sekadar menjanjikan capaian internet yang lebih laju, tetapi lebih penting dari itu, ia memungkinkan pelbagai aplikasi penting berada dalam genggaman pengguna.
“Termasuk aplikasi-aplikasi pemantauan kesihatan bagi pesakit-pesakit kronik, bantuan kecemasan pintar, dan aplikasi-aplikasi khas bagi warga emas yang tinggal bersendirian,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, peranan teknologi digital ini terserlah lebih-lebih lagi semenjak setahun lalu apabila pandemik Covid-19 telah memberi cabaran getir kepada semua negara untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Penguasaan teknologi digital ini juga merupakan kunci untuk negara mengatasi batasan produktiviti, sekaligus menaiktaraf ekonomi Malaysia. Keupayaan untuk merebut peluang yang muncul daripada teknologi dan model perniagaan inovatif, akan memainkan peranan penting dalam memacu enjin baharu pertumbuhan ekonomi negara.
“Inisiatif MyDIGITAL ini berhasrat untuk memperkasakan setiap rakyat Malaysia, dari Perlis ke Sabah, untuk memperbaiki kehidupan mereka dalam setiap aspek.
Antaranya, ia merangkumi idea dan pelan untuk meningkatkan literasi digital, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, menjadikan urusan perbankan dan kewangan dan lebih mudah dan teratur, memberikan akses pendidikan secara maya kepada anak-anak kita serta membawa kemudahan perubatan ke pekan terpencil,” katanya.-Malaysiapost

