MAHKAMAH Persekutuan akan memberikan penghakiman terhadap pertuduhan menghina mahkamah ke atas Malaysiakini berhubung sejumlah komen pembaca di portal berkenaan.
Selepas dua kali ditangguhkan berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP), Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusannya di Istana Kehakiman Putrajaya bermula pada jam 9 pagi ini.
Berdasarkan laporan portal itu, panel tujuh hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf akan membuat keputusan apakah portal berita dalam talian itu telah melakukan penghinaan melalui komen pembacanya.
Sekiranya Malaysiakini dan ketua pengarangnya Steven Gan didapati menghina mahkamah, hukuman boleh dijatuhkan pada hari ini.
Tidak ada had hukuman dalam peruntukan undang-undang untuk kes menghina mahkamah. Justeru Malaysiakini berdepan kemungkinan dikenakan denda dan / atau Gan dihukum penjara.
Ini adalah kali pertama Malaysiakini menghadapi pertuduhan menghina mahkamah sejak penubuhannya 21 tahun lalu.-Malaysiapost

