POLIS menempatkan pos kawalan tempat kejadian (PKTK) yang dibuka 24 jam di kawasan kejadian tebing sungai runtuh di Kampung Jalan Pohon Celagi di Pasir Mas, Kelantan bagi tujuan keselamatan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar, berkata ada kemungkinan runtuhan berlaku lagi berdasarkan kesan retakan baru hasil daripada tinjauan pihaknya ke lokasi berkenaan hari ini.
Katanya, PKTK terbabit menempatkan anggota polis dan agensi keselamatan lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
“Selain itu, saya juga dimaklumkan oleh Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat yang sudah melaksanakan arahan untuk kawasan ini ditutup terus daripada dimasuki orang awam kerana keadaan yang membahayakan selain selain mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.
“Radius kawasan kawalan untuk tidak dibenarkan masuk oleh orang ramai juga masih dalam perbincangan dengan jabatan yang terbabit sama ada ia perlu diperluaskan bagi tujuan keselamatan bersama.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan untuk makluman, pihak kami tidak pakar dalam menyelesaikan masalah sebegini tetapi memikul tanggungjawab untuk memastikan keselamatan nyawa dan harta benda terjaga ketika musibah melanda,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Sebelum ini media melaporkan seramai 50 penduduk di kawasan itu dipindahkan serta-merta selepas berlaku kejadian tanah runtuh sepanjang 200 meter di tebing Sungai Kelantan berhampiran Dataran Air Muleh, pada awal pagi Rabu lalu.
Runtuhan berlaku bermula 2.30 pagi sehingga 6.30 pagi turut menyebabkan sebuah rumah runtuh dipercayai disebabkan terjahan air Sungai Kelantan ke benteng berkenaan. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/18/tanah-runtuh-4-rumah-musnah-kerajaan-negeri-diminta-henti-korek-pasir/

