SATU video pengakuan daripada pekerja asing warga Bangladesh yang memaklumkan ditekan pihak tertentu supaya membayar sejumlah wang jika ingin bekerja di Malaysia tular di laman sosial baru-baru ini.
Menerusi video tersebut, mereka membongkarkan terdapat satu syarikat yang memeras ugut meminta wang sejumlah RM15,000 pada setiap pekerja asing warga Bangladesh.
Bagaimanapun, kerajaan tidak pernah mewujudkan undang-undang meminta sebarang bayaran dengan jumlah tersebut kepada pekerja asing yang datang bekerja di negara ini.
Oleh kerana bimbang dengan ugutan yang diterima, pekerja-pekerja tersebut ada yang terpaksa berhutang dengan ceti haram atau ‘along’dan menjual tanah bagi melunaskan bayaran itu bagi membolehkan bekerja di Malaysia.
Bukan sekadar itu sahaja, malah gaji mereka dipotong kononnya perlu membayar caj-caj tersembunyi yang jumlahnya tidak masuk akal setelah mereka diterima bekerja.
Difahamkan, mereka mendakwa syarikat tempatan atas nama Bestinet Sdn Bhd yang dikawal selia individu dikenali sebagai ‘Datuk Seri Amin Bangla’ yang bertanggungjawab mengenakan bayaran tersebut kepada pekerja asing.
Malah, di hantaran yang tular itu turut mengaitkan nama salah seorang pemimpin parti politik yang dikatakan ada kena mengena dengan Bestinet.
Adakah benar pemimpin politik yang secara dasar perjuangannya membela nasib bangsa dan agama, sanggup bersekongkol dalam isu pemerasan pekerja warga asing?
Hantaran itu memberitahu, situasi di Bangladesh juga tegang berikutan berlaku protes ke atas syarikat Bestinet yang menindas urusan perjalanan pekerja asing.
Semakan Malaysiapost mendapati Bestinet Sdn Bhd adalah syarikat yang mengendalikan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), iaitu platform untuk mendaftarkan pekerja asing di Malaysia.
Syarikat ini bertanggungjawab dalam penyedia sistem penyelesaian berpusat dan bukan agensi pengambilan pekerja asing.
Menerusi sistem bersepadu itu, ia dapat mengenalpasti mana-mana calon atau pemohon yang disenarai hitam atau mempunyai latar belakang kesihatan yang mencurigakan.
Ini bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak sahaja dapat bekerja di negara ini. -Malaysiapost
Artikel berkaitan : https://malaysiapost.com.my/2020/11/20/ops-selat-seorang-lagi-pegawai-imigresen-3-ejen-pekerja-asing-ditahan/

