Ku Li diminta pelawa Tun M kembali ke pangkuan Umno

0
1

KENYATAAN bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sudi kembali kepada Umno perlu disambut baik oleh parti berkenaan dan usaha segera perlu dilakukan ke arah itu.

Veteran Umno, Tan Sri Yussuf Latiff berkata satu rundingan perlu dianjurkan segera bagi mempelawa bekas Presiden Umno itu kembali ke pangkuan parti.

Menurutnya, Pengerusi Majlis Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah dilihat mampu melaksanakan usaha itu kerana beliau antara pemimpin yang masih dihormati semua pihak.

Katanya, Dr Mahathir sendiri pernah berjumpa dan berbincang dengan Tengku Razaliegh bagi mencari kaedah terbaik perpaduan orang Melayu.

“Tengku Razalegih mempunyai kapasiti sebagai penasihat Umno dan boleh menasihati semua pihak agar berlapang dada dan berjiwa besar untuk menerima semula Dr Mahathir kembali ke pangkuan Umno demi kepentingan bangsa, agama dan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemimpin Umno kini perlu memikirkan masa depan orang Melayu dan mengenepikan kepentingan diri dan jawatan mereka.

“Sudah tiba masanya pemimpin Umno harus benar-benar membuktikan mereka berjiwa besar, jika mereka mahu menang dalam pilihan raya umum akan datang, mereka harus menerima sesiapa sahaja yang mahu kembali menyokong dan memastikan Umno menang pada pilihan raya nanti,” katanya.

Yussuf berkata, Dr Mahathir juga haruslah kembali ke pangkuan Umno sebagai mengenang perjuangan pemimpin terdahulu iaitu Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

Katanya, Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman , Tun Razak dan Tun Hussein telah berkorban demi parti dan negara tanpa sebarang kepentingan diri, malah tidak mengaut sebarang kekayaan peribadi walaupun pernah ditawarkan.

Beliau berkata, jika tidak bersetuju dengan individu atau pemimpin dalam parti sekalipun, Umno tidak seharusnya menjadi mangsa sehingga hilang kuasa pemerintahan ataupun dibatalkan pendaftarannya.

“Dr Mahathir boleh duduk semeja dengan Tengku Razalegh bagi berbincang memberi cadangan mengenai perubahan yang harus dilakukan Umno bagi memastikan ia kembali berkuasa demi memperjuangkan nasib orang Islam dan Melayu yang kini sering diperkotak-katikkan.

“Dengan penyertaan Dr Mahathir, parti-parti yang lahir atas serpihan Umno perlu dibubarkan dan seterusnya menyertai Umno seperti yang pernah dilakukan oleh Parti Melayu Semangat 46,”

Dr Mahathir dalam program ‘Bersama Tun M’ anjuran sebuah akhbar harian tempatan semalam, mengakui beliau boleh kembali kepada Umno dengan syarat parti itu kembali kepada perjuangan asalnya.

Beliau mengakui masih sayangkan Umno kerana pernah menjadi presiden selama 22 tahun, namun menegaskan beliau tidak sayang kepada pemimpinnya kini dan tidak akan bekerjasama dengan mereka yang disifatkan sebagai ‘penyangak’. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here