Kes Rosmah perlu diselesaikan segera

0
1

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Datin Seri Rosmah Mansor membela diri atas pertuduhan rasuah bernilai ratusan juta ringgit hari ini, wajar dipandang serius.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Yazid Mohd Yunus berkata, ini kerana kes itu adalah berprofil tinggi yang perlu diselesaikan segera.

“Sekiranya tidak bersalah, maka kes ini perlu penutupnya. Manakala jika bersalah, maka saya yakin seluruh negara menuntut keadilan terlaksana. Rasuah adalah barah besar yang wajib kita perangi.

“Bersatu mempunyai sejarah panjang memerangi rasuah. Parti ini ditubuhkan atas semangat memerangi rasuah dan mengembalikan integriti negara.,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Kes-kes berprofil tinggi seperti itu seharusnya mempunyai penyelesaian selain bagi memastikan ia tidak berulang.

“Keadilan mesti dilaksanakan supaya menjadi pengajaran kepada semua dan tidak berulang lagi selepas ini. Ini duit rakyat yang mesti dijaga dengan amanah,” katanya.

Terdahulu, Rosmah diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pada 11 Disember lalu, pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi termasuk bekas Pegawai Khas kepada Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor; bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed.

Pada 15 November 2018, Rosmah, 69, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak. -Malaysiapost

Foto Kredit: Channel News Asia

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/18/projek-solar-rosmah-dipanggil-bela-diri/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here